Friday, 12 April 2013

video seks: kenapa kami tak terlibat?




Sepanjang tempoh singkat kami menulis di blog ini, kami hanya menumpukan kepada perkara-perkara yang bersifat fakta. Kami tidak terlibat dalam penyebaran skandal, khabar angin, gosip, spekulasi dan sebagainya. Sekali pun sesuatu yang kami kemukakan itu kelihatan seperti spekulasi, ia ditulis berasaskan kepada sumber-sumber yang kukuh.

Dalam isu video seks yang tersebar baru-baru ini, kami lebih cenderung memilih jalan selamat, iaitu tidak menyebarkannya mahupun mengulas samaada ia benar atau tidak. Ini kerana, sekiranya ia tidak benar, maka ia adalah fitnah. Adapun sekiranya ia benar, mungkin sahaja perempuan itu adalah merupakan isterinya yang dikahwini secara senyap. Apa pun kebenarannya, kami memilih untuk tidak menyebarkan khabar yang tidak pasti apatah lagi menyebar keaiban orang.

Mungkin orang lain mempunyai pandangan yang berbeza, namun inilah jalan yang kami pilih, iaitu berpegang kepada hukum asal dalam hal menyebar berita dan hal menutup keaiban orang.

Kami juga berpendapat, kita tidak perlu skandal-skandal sebegini bagi menunjukkan kelemahan parti pembangkang.  Kecelaruan idea, pemusingan fakta, putar-belit, penipuan, penyebaran fitnah, tuduhan-tuduhan tanpa bukti dan sebagainya yang dilakukan secara terang-terangan cukup untuk kita tunjukkan kepada rakyat mengapa mereka tidak layak untuk diberi mandat memerintah negara.


Keaiban


Setiap kita ada keaiban yang kita semua tidak mahu ia dibuka. Ia adalah sebahagian daripada kelemahan kita sebagai manusia. 


Rasulullah SAW. bersabda:


 “Setiap daripada kamu adalah orang yang berbuat salah, dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.”
(Riwayat  Ahmad).

Itulah sebabnya para ulama’ terdahulu sering berdoa agar Allah menutup keaiban mereka. Ini kerana, mereka juga adalah manusia biasa yang ada kekurangan dan kelemahan serta tidak maasum daripada melakukan dosa dan kesalahan. 

Islam sangat memelihara maruah manusia. Itulah sebabnya kita dilarang untuk membuka aib orang mahupun aib diri sendiri. Malangnya, dunia politik kita kini dipenuhi dengan bongkar-membongkar, termasuk membongkar keaiban lawan mereka. Ini berlaku di kedua-dua belah pihak, samaada pro-kerajaan mahupun pro-pembangkang. Maka tidak hairanlah jika Allah tidak menjaga, malah membongkar keaiban mereka. 


Rasulullah SAW. bersabda:

“Wahai sekalian manusia yang beriman dengan lidahnya, (namun) belum masuk iman ke dalam hatinya. Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya. Dan siapa yang aibnya dibuka Allah, maka Dia akan membukanya sekalipun di dalam rumahnya.” 
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Jika kita khuatir aib kita dibuka, maka kita juga hendaklah menutup aib orang lain. Ini kerana Allah telah berjanji menutup keaiban mereka yang menutup keaiban orang lain. 


Rasulullah SAW. bersabda:

“Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat.” 
(Riwayat at-Tirmidzi)


Berlaku adillah!


Dalam dunia politik negara kita, kita sering lihat sikap 'double-standard' orang-orang politik mengenai sesuatu isu.

Apabila seseorang dari puak mereka dituduh, mereka kata ia fitnah, konspirasi, tuduhan tanpa bukti, tak perlu dakwa, tak perlu bela diri. Apabila pihak lawan mereka dituduh, maka mereka kata ia benar sekalipun belum lagi ada pendakwaan, bukti atau pembelaan. Malah, ada tuduhan tertentu dibuat dengan sekadar berkata, “Saya ada bukti mengatakan sekian, sekian..” Namun, setelah bertahun-tahun, bukti itu tidak juga dikemukakan. Jelas sekali, ia hanyalah merupakan suatu propaganda persepsi.

Sekiranya mereka betul-betul adil, maka setiap orang layak untuk didakwa sekiranya pihak pendakwaan mempunyai cukup bukti dan setiap orang juga berhak membela diri.

Apabila pihak mereka didedahkan dengan sesuatu skandal, mereka kata kita dilarang membongkar keaiban orang lain, tanpa mereka sendiri bermuhasabah bahawa keaiban mereka ini mungkin dibongkar oleh Allah atas sebab mereka sibuk menjaja keaiban orang lain selama ini. 

Apabila pihak mereka dituduh berzina, mereka bercakap tentang qazaf. Mereka mengeluarkan ayat al-Quran: 


Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. 
(an-Nur:4-5)

Namun, mereka sendiri melakukan perkara sama, menjaja skandal-skandal orang sejak berdekad lamanya!

Sekiranya kita memperjuangkan keadilan, kita sendiri harus berlaku adil. Kita tidak boleh membuat pertimbangan secara selektif.


Firman Allah: 

"Wahai orang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan." (al-Maidah:8) 


Rasulullah SAW. bersabda: 

"Tidaklah mereka mengurangi timbangan dan takaran kecuali mereka akan disiksa dengan kemarau berpanjangan dan penguasa yang zalim.
(Riwayat Ibnu Majah)

Na’udzubillah…


Allah Maha Adil


Sebagai seorang muslim, kita perlu yakin terhadap keadilan Allah. Mungkin sahaja keadilan itu tidak dilihat di dunia, namun segalanya akan tertegak di mahkamah akhirat.


Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak zalim walaupun sebesar zarah.." 
(an-Nisa’:40)

Dalam banyak perkara, adakalanya lebih baik kita berdiam diri daripada cuba berkata atau mengadili atau menyokong atau menentang sesuatu yang kita tidak tahu dengan jelas. Ini kerana, ia akan membuka jalan untuk kita berlaku zalim.

Malangnya hal ini tidak lagi dihayati oleh ramai di kalangan masyarakat kita pada hari ini. Adakalanya, mereka mempercayai dan memperkatakan tentang sesuatu seolah-olah mereka itu adalah saksi. Tidak cukup sekadar itu, mereka pula yang mencela para saksi! Mereka juga sibuk menjadi hakim tanpa perlu menilai bukti dan hujah di kedua-dua belah pihak. Tambahan pula, mereka sendiri tidak terlatih untuk membuat penghakiman!

Ingatlah, Allah itu Maha Adil. Keadilan Allah tidak terhad kepada mereka yang dituduh atau yang menuduh. Keadilan Allah juga meliputi ke atas kita sebagai pihak ketiga!

1 comment:

  1. saya tetap berpendirian, jangan libatkan diri dalam isu isu seperti ini....
    betul, fitnah itu soal individu tersebut
    terlalu banyak berita2 lain yang boleh di ketengahkan

    ReplyDelete

There was an error in this gadget