Saturday, 6 April 2013

Cara mudah mengenali Anwar




Tidak dinafikan bahawa kebanyakan pengikut parti pembangkang pada hari ini hanya mengikuti perkembangan politik selepas pemecatan Anwar pada tahun 1998. Oleh demikian, ramai di kalangan mereka tidak mengetahui tentang apa-apa tentang politik sebelum dari waktu itu. Mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh Anwar sewaktu berada dalam UMNO dan mereka hanya mengenali Anwar melalui media arus perdana yang pada ketika itu dikawal oleh konco-konco Anwar. 

Manakala parti-parti pembangkang ketika itu bolehlah dikatakan sebagai parti jalanan. Oleh demikian, orang ramai langsung tidak berminat untuk membaca media-media yang dikeluarkan oleh parti pembangkang. Itulah sebabnya mereka langsung tidak tahu bahawa media-media ini suatu masa dahulu lebih banyak menyerang Anwar berbanding Dr. Mahathir. Malah label-label seperti ‘zalim’, Fir’aun, ‘political animal’ dan sebagainya banyak ditujukan kepada Anwar. 


Sebenarnya ada beberapa cara untuk kita mengetahui perkara tentang Anwar.  Namun di sini kami ingin mengutarakan hanya dua cara.

  1. Bertanya kepada saksi di kalangan ahli UMNO yang bersama-sama dengan beliau sewaktu beliau berada dalam kerajaan suatu ketika dahulu.
  2. Membaca pendedahan-pendedahan oleh media pembangkang sebelum beliau dipecat.



Saksi-saksi


Dalam UMNO, sebenarnya tidak sukar untuk mengetahui siapa yang bersih dan siapa yang kotor. Ini kerana saksi adalah terlalu ramai, terutama di kalangan para pemimpin UMNO Bahagian dan para perwakilan. Mereka inilah yang ditawarkan ‘hadiah’ oleh mereka yang menggunakan kedudukan mereka bagi menganugerahkan ‘hadiah’ kepada mereka yang boleh membantu mengukuhkan kedudukan mereka. Oleh demikian, saksi-saksi ini tahu siapa yang ada beri ‘hadiah’ dan siapa yang tak beri ‘hadiah’.

Persoalannya, adakah Anwar tergolong di kalangan mereka yang bersih dan tidak memberikan 'hadiah'?

Pastinya, mereka lebih mengetahui siapa sebenarnya Anwar. Sebahagian mereka ini pernah dijadikan sebagai kroni. Manakala sebahagian lain di kalangan pembantu dan orang kuat kroni menjadi saksi.

Itulah sebabnya ramai di kalangan orang UMNO menganggap Anwar sebagai Bapa Politik Wang. Walaupun politik wang telah pun wujud sebelum dari itu lagi, namun politik wang dalam UMNO semakin menjadi-jadi selepas Anwar diberikan jawatan sebagai Menteri Kewangan. Ketika itu beliau dalam usaha mengukuhkan kedudukan bagi mencabar Timbalan Presiden Umno pada ketika itu iaitu Tun Ghafar Baba. 

Para saksi telah melihat bagaimana Anwar menggunakan kuasanya bagi membina pengaruhnya dalam UMNO. Mereka melihat ‘tukang bawa beg’ yang di dalamnya dipenuhi dengan note RM1000. Mereka melihat Ketua-ketua Bahagian UMNO dan orang kuat beliau dikayakan dalam sekelip mata. Ada yang ditawarkan saham-saham IPO. Ada yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat-syarikat senaraian awam. Ada yang diberikan kontrak. Malah, ada yang diberikan lesen judi! 

Malah, mereka ini juga melihat sendiri pelbagai tipu muslihat Anwar. Di sebuah negeri , sebagai contoh, seorang Ketua Bahagian telah dijanjikan jawatan Menteri Besar. Namun, setelah beberapa lama, barulah beliau mengetahui bahawa jawatan itu turut dijanjikan kepada beberapa Ketua Bahagian lain. Di negeri lain pula, sebaik sahaja seorang Menteri Besar dilantik, Anwar mengucapkan tahniah kepada beliau dan cuba mengambil kredit dengan mengatakan kononnya beliaulah yang  melobi kepada Dr. Mahathir untuk melantik beliau, namun sebenarnya…….

Banyak lagi kisah-kisah dan skandal-skandal lain yang disaksikan oleh saksi-saksi ini.

Namun anehnya pada hari ini, ‘orang luar’ yang baru sehari dua mengenali politik lebih mengetahui daripada para saksi. Mereka ini hanya mengenali Anwar daripada media. Persepsi mereka terhadap Anwar hanyalah bersandarkan kepada apa yang diucapkan oleh Anwar. 

Sebenarnya amat mudah untuk membuat diri sendiri dilihat bersih. Bagi Anwar, beliau hanya perlu  bercakap tentang politik wang, korupsi, kronisme, nepotisme dan sebagainya. Lalu ‘orang luar‘ menganggapnya bersih manakala orang selainnya adalah kotor. Malah, mereka menganggap Anwar sebagai hero yang mahu menyelamatkan UMNO dan Malaysia daripada kesemua masalah tersebut!

Namun, bolehkah Anwar memperdaya saksi-saksi yang melihat kerakusan Anwar dengan mata kepala mereka sendiri? Bodohlah mereka jika mereka masih lagi boleh terpedaya.

Setelah Anwar dipecat daripada kerajaan, beliau mendakwa terdapatnya konspirasi dalam menjatuhkan beliau. Namun, bagi para saksi, mereka tahu siapakah sebenarnya yang paling banyak melakukan konspirasi!


Media-media pembangkang.


Dalam isu Anwar ini, kita dapati bahawa kebanyakan kisah dan skandal Anwar telah didedahkan oleh pembangkang sejak daripada tahun 1990an lagi. Hampir semua orang tahu bahawa orang yang pertama mendedahkan tentang kes liwat Anwar di Parlimen adalah Karpal Singh. Manakala orang yang memberi gelaran al-J***ri kepada Anwar adalah Mat Sabu. Skandal-skandal Anwar dijaja merata-rata dalam majlis-majlis ceramah dan media-media pembangkang.

Di sini kami siarkan contoh wawancara dalam salah sebuah media PAS, iaitu Majalah Tamadun, keluaran Julai 1998, iaitu kira-kira 2 bulan sebelum Anwar dipecat.  Wawancara ini adalah antara Lutfi Othman dengan Mat Sabu.  Dalam wawancara itu, Mat Sabu menyebutkan perkara-perkara berikut:


  • Nepotisme


Sebenarnya gejala nepotisme yang berlaku dalam pemerintahan Malaysia, saya meletakkan Anwar Ibrahim lebih ganas daripada Mahathir. Kerana Anwar belum berkuasa penuh tetapi suku sakatnya telah mencipta kekayaan lebih hebat. Antaranya Kamarudin Jaafar (kini menjadi Ahli Parlimen PAS dan menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS bagi tempoh 2005-2009) menjadi jutawan segera, saudaranya Rani, Marzuki dan Rosli Ibrahim dan setiausaha sulitnya Nasarudin Jalil naik mendadak dalam perniagaan, kerana pandai berniaga atau kerana Anwar Ibrahim?


  • Penguasaan media dan skandal Petronas Dagang


Jangan lupa semasa Anwar hendak menjatuhkan Ghafar Baba wujud peranan Quek Leng Chan dan beberapa jutawan lain yang membiayai golongan tertentu untuk menguasai saham NST dan TV3 gara-gara untuk mengukuhkan posisi Anwar. Kita juga ingin bertanya 300 juta saham Petronas Dagang dilabur ke mana sehingga perwakilan Sabah berubah dari menyokong Ghafar kepada Anwar dengan begitu mengejutkan?

Imej Anwar nampak bersih adalah kerana media tempatan yang dikuasainya. Pernah satu ketika bila menonton TV3, berita Anwar diutamakan diikuti berita lain dan keempat baru PM. Bila kita hentam PM barulah berita ini berada ditempat pertama. 


  • Anwar dan pengaruh barat


Manakala media antarabangsa yang menyalahkan Mahathir dan cuba menaikkan Anwar, ini adalah kerana Barat hanya mahukan dua corak Islam yang boleh mereka kuasai, iaitu Islam yang berbentuk ilmiah tanpa pelaksanan hukum sperti yang dipelopori IIIT, ICMI dan ABIM. Dan yang kedua bercorak Afghanistan atau ala Taleban kerana peluang bagi Barat untuk mengambarkan betapa buruknya Islam. Dan Anwar adalah paling layak untuk mengekalkan pengaruh Barat dan sesuai dengan kehendak mereka untuk menghadapi 250 juta umat Islam di sebelah sini.


  • Anwar seteru politik terbesar PAS


Apa yang saya perkatakan bukan kerana Anwar adalah seteru politik terbesar PAS. Kita boleh lihat rekod sejak dia menjadi Menteri Kewangan bagaimana saham diagihkan, projek diberikan…


  • Anwar pandai menggunakan agama


Saya berdoa secara peribadi biar Mahathir mengepalai pilihanraya akan datang kerana kalau Anwar naik jadi PM dia cukup pandai menggunakan agama dan mengambil sentimen orang Melayu berbanding Mahathir .... kita tahu tahap pemikiran orang Melayu setakat mana.


  • ISA dan demokrasi


Saya tidak nampak jika zaman Anwar (sebagai PM) masalah kekangan demokrasi, kebebasan, ISA dan akta-akta tertentu boleh berubah. Contohnya UIA tempat Anwar berkuasa penuh di mana dia menjadi Presiden dan tempat berkumpul orang-orangnya sehingga menjadi universiti paling corot dalam Asia. Universiti yang hanya untuk meluluskan puak-puak penyokong Anwar supaya ada ijazah, di situ berlaku kongkongan malahan lebih dahsyat berbanding universiti-universiti lain. Anwar lebih pandai dari Mahathir dari sudut menguasai budaya Melayu.


  • Anwar dan judi


Imej Anwar di peringkat antarabangsa diakui masih hebat sehingga apabila saya pergi ke Pakistan pemimpin-pemimpin Jamaat Islami begitu menghormati Anwar. Tetapi apabila saya menceritakan ...... daripada 4 jenis judi, Anwar telah menghalalkan menjadi 9 termasuk judi lumba kuda apabila ia menjadi Menteri Kewangan. Daripada 3 tempat judi lumba kuda iaitu Ipoh, Penang dan KL ia telah bertambah ke Sabah sehingga menimbulkan kemarahan ahli-ahli Parlimen di sana dan juga menerima bantahan di Sarawak apabila judi lumba kuda juga hendak diwujudkan di sana. 

Dan Genting Highlands menjadi pusat judi ketiga besar di dunia di bawah kekuasaan Anwar sebagai Menteri Kewangan. Anwar mempunyai hubungan yang baik dengan taukeh judi Lim Goh Tong di mana sewaktu menjadi Ketua Pemuda UMNO beliau mudah mendapat bantuan dari Yayasan Gerak Bakti kepunyaan taukeh judi ini. Akhirnya ketua Jamaat Islami mengaku selama ini mereka mendapat gambaran salah.

2 comments:

  1. Salam tuan blogger....
    Saya amat tertarik dgn hujah hujah berfakta tuan. Satu perkara yg sering di gunakan cybertroper pembangkang ialah mengenai hutang kerajaan yg semakin meningkat. Bagaimana kita boleh mematahkan hujah tersebut dgn bukti yg nyata?

    ReplyDelete
  2. wslm wbt.

    Pertama, seperti dinyatakan dalam post sebelum ini, kalaulah ekonomi kita berada dalam keadaan parah disebabkan oleh hutang negara yang dikatakan tinggi, maka kenapa para pelabur asing makin bertambah? Boleh rujuk post Malaysia bankrap


    Kedua, hutang negara Malaysia sekarang baru mencecah 52% berbanding KDNK. Jika dibandingkan, banyak lagi negara yang jauh lebih tinggi daripada kita, termasuklah singapura, jepun, perancis etc. Boleh rujuk SINI

    Ketiga, hutang negara ini tidak boleh dilihat secara kasar. Kita perlu perincikan apakah bentuk hutang ini. Dari sini barulah kita dapat tahu apa beza negara yang hutangnya tinggi tapi tidak bermasalah dengan negara yang hutangnya tinggi dan bermasalah. Ini termasuk apakah jenis hutang itu, dari mana sumber hutang itu, ke mana ia dibelanjakan, yang mana satu yang kerajaan kena bayar etc.

    Detail tentang hutang Malaysia, boleh rujuk sini: A FAQ On Malaysian Government Debt

    ReplyDelete

There was an error in this gadget