Sunday 7 April 2013

apa strategi PAS?




Sebenarnya PAS sedar akan dilema yang dihadapi oleh umat Melayu Islam di negara ini. Ini terbukti apabila para pemimpin PAS tersentak dengan apa yang berlaku di Perak pasca PRU12 yang lepas. Ia menyaksikan bagaimana sebuah kerajaan majoriti bukan Islam terbentuk walaupun majoriti kerusi dalam DUN dikuasai oleh wakil rakyat beragama Islam. Ini terhasil apabila 35 kerusi yang dipegang oleh ADUN Islam berpecah kepada BN dan PR. 

Rentetan daripada senario ini kita dapati pelbagai peristiwa telah berlaku. PAS yang sebelum ini sangat keras permusuhannya dengan UMNO, telah mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan PAS-UMNO atas dasar ‘akhaffu dhororain’ yang akan kami jelaskan selepas ini.

Ramai orang penting telah ‘swing’ daripada menyokong pembangkang. Antaranya termasuklah Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias yang sebelum in cenderung kepada PAS, tetapi kini telah berubah kecenderungan. Begitu juga dengan sebahagian wakil rakyat dan orang besar PKR. PAS pula bergolak hasil pertembungan golongan pro-kerajaan perpaduan dengan golongan yang menentang kerajaan perpaduan sehingga menyaksikan Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Dr. Hasan Ali terpelanting, Hj. Hadi Awang dan sebahagian ulama' PAS tersepit serta sebahagian pimpinan PAS negeri dan ahli akar umbi keluar parti. Malah, terdapat tangan-tangan tertentu dalam pembangkang sendiri yang terlibat dalam usaha menumbangkan kerajaan PR di Perak.


‘Akhaffu dhororain’


Bagi mereka yang mengaji agama dengan agak mendalam, pastinya mengenali apa yang dimaksudkan dengan ‘akhaffu dhororain’. Secara literalnya, ‘akhaffu dhororain’ membawa maksud ‘mudarat yang lebih ringan di antara dua mudarat’

Al-Imam al-Ghazali menggunakan contoh pasukan tentera kuffar yang menjadikan umat Islam yang ditawan mereka sebagai perisai dengan meletakkan mereka di barisan hadapan pasukan tentera mereka. Dengan cara ini, tentera Islam tidak dapat menyerang mereka kerana khuatir saudara Islam mereka terbunuh akibat serangan tersebut. Ini membolehkan pihak kuffar terus mara sehinggalah dapat menawan kota Islam. 

Maka dalam situasi ini, terdapat 2 mudarat. Pertama, jika tentera Islam menyerang musuh, mereka tidak akan dapat mengelak daripada membunuh tawanan-tawanan Islam yang dijadikan perisai itu. Kedua, jika musuh dibenarkan mara, mereka akan menawan kota Islam dan melakukan pelbagai mudarat di dalamnya. Dalam situasi ini, al-Imam al-Ghazali membenarkan tentera Islam menyerang tentera musuh walaupun serangan itu mungkin akan mengakibatkan sebahagian tawanan yang dijadikan perisai itu terbunuh. Ini kerana, mudarat kedua adalah lebih besar daripada mudarat pertama. Inilah yang disebutkan sebagai ‘akhaffu dhororain’ atau mudarat yang lebih ringan di antara dua mudarat.

Dalam isu kerajaan perpaduan ini, PAS melihat penggabungan dengan UMNO dan Barisan Nasional adalah merupakan mudarat yang lebih ringan jika dibandingkan dengan penggabungan mereka dengan PKR dan DAP.

Aneh, bukan?? Bergabung dengan UMNO yang sering dituduh dengan label-label seperti  korup, zalim, fir’aun, kronisme, nepotisme dan banyak lagi ini lebih ringan mudaratnya berbanding bergabung dengan DAP dan PKR yang memperjuangkan slogan-slogan seperti keadilan, menghapuskan korupsi, bersih, telus dan sebagainya!


Adakah terdapat  sesuatu yang mereka tahu yang rakyat tidak tahu?


Pertama, PAS sendiri tahu bahawa segala serangan dan tohmahan yang mereka lakukan terhadap UMNO selama ini sengaja diperbesar-besarkan atas tujuan politik. Mungkin terdapat perkara-perkara yang tidak baik dan tidak dipersetujui oleh PAS tetapi ia tidaklah sehebat yang digambarkan kepada para penyokong mereka. 

Mungkin bagi para penyokong PAS, UMNO adalah syaitan! 'Syaitan' langsung tidak boleh didekati dan tidak boleh didakwah.  Ini hasil daripada propaganda pemimpin mereka yang sentiasa memberikan label-label seperti sekular, zalim, Fir’aun, tolak Islam, anti-Islam, kafir dan sebagainya. Namun, para pemimpin PAS tahu bahawa pemimpin-pemimpin UMNO sebenarnya tidaklah seteruk persepsi yang ada pada pengikut mereka. Mereka bukanlah seperti golongan sekular di Turki yang langsung tiada nilai Islam. Pemimpin-pemimpin UMNO menunaikan solat, berpuasa, menunaikan umrah dan haji serta menjaga perkara-perkara asasi umat Islam di negara ini, walaupun terdapat perkara-perkara lain yang bukan asasi yang tidak dipersetujui PAS.

Kedua, PAS sebenarnya begitu mengenali rakan-rakan mereka dalam pakatan pembangkang. Dalam post sebelum ini, kami telah mendedahkan sebuah wawancara majalah Tamadun yang dimiliki oleh PAS bersama dengan Mat Sabu pada Julai 1998, iaitu 2 bulan sebelum Anwar dipecat daripada kerajaan. Ini jelas membuktikan bahawa mereka sangat mengenali siapa sebenarnya Anwar. Malah apabila Anwar dipecat, ramai penceramah PAS yang mengatakan, “Ini adalah bala ke atas Anwar!”

Namun, beberapa bulan selepas itu, mereka telah membuat pusingan U. Presiden PAS ketika itu, Ustaz Fadzil Noor telah menziarahi Anwar. Maka bermulalah kerjasama PAS dan Anwar. Lalu, mereka telah ‘membersihkan’ imej Anwar yang sebelum ini dilabel sebagai zalim, Fir’aun dan ‘political animal’ oleh pemimpin dan media mereka. 

Hasil kerjasama itu, PAS telah mendapat manfaat yang besar. Pada PRU tahun 1999, PAS telah berjaya menawan banyak kerusi sehingga menguasai majoriti kerusi pembangkang dalam Parlimen serta menambah sebuah lagi negeri, iaitu Terengganu. 

Walau bagaimanapun, kerjasama PAS, PKR dan DAP  dalam Barisan Alternatif (BA) pada ketika itu telah merugikan DAP. DAP telah kalah banyak kerusi, termasuk kerusi yang ditandingi oleh dua jaguh mereka Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Maka pada tahun 2001, DAP telah mengambil keputusan untuk ‘bercerai‘ dengan BA. 

Dalam sebuah temubual, Setiausaha Agung DAP ketika itu, Kerk Kim Hock menyebutkan:

 “Kami sekarang mampu membuang beban Negara Islam (teokratik) yang merupakan penyebab utama kekalahan teruk DAP di dalam pilihan raya lalu. Dengan ketiadaan beban ini kami berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendapatkan kembali sokongan tradisi kami. Berdasarkan keputusan pilihanraya 1999, kami mendapat maklumbalas yang mengesahkan ia satu-satunya faktor paling utama persembahan teruk DAP. Jika kami bergerak sendirian, kami dengan senang-senang boleh memenangi lebih 20 kerusi Parlimen. Ini berdasarkan semua penilaian yang telah kami buat selama bertahun-tahun dan mood selepasnya.” -NST

Jelas sekali, PAS sentiasa tidak sebulu dengan DAP. PAS memperjuangkan negara Islam manakala DAP menolak penubuhan negara Islam. Tidak setakat itu, DAP memperjuangkan sebuah negara sekular yang berasaskan kepada kesamarataan yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam.

Tambahan pula DAP senantiasa dilihat dibayangi oleh parti PAP dari Singapura yang pernah menggelarkan diri mereka sebagai ‘Little Israel’. Ini adalah sesuatu yang jelas kerana DAP diasaskan oleh Ahli Parlimen tunggal PAP di Malaysia iaitu Devan Nair yang memenangi kerusi Parlimen Bangsar pada Pilihanraya Umum tahun 1965. Antara agenda utama beliau adalah bagi membawa kembali penyatuan Singapura dengan Malaysia. Akan tetapi, beliau tidak tinggal lama di Malaysia. Beliau kemudiannya dipujuk oleh Lee Kuan Yew untuk pulang ke Singapura bagi ‘membersihkan’ imej DAP daripada dikaitkan dengan PAP. Beliau telah pulang ke Singapura dan dilantik memegang jawatan Presiden Singapura.

Strategi Lee Kuan Yew ini ternyata berkesan apabila ramai di kalangan umat Islam di Malaysia hari ini sudah lupa kaitan antara parti DAP dengan parti ‘Little Israel’ tersebut. Malah, apabila dinyatakan tentang perkara ini, mereka dengan sinis mengatakan, “Ini propaganda UMNO!”

Para pemimpin dan ulama’ PAS sedar akan hal ini. Mereka masih lagi menyimpan rasa curiga terhadap DAP. Malah mereka juga curiga terhadap Anwar yang mendapat sokongan padu barat dan proksi mereka di Asia Tenggara. Namun, atas dasar ‘tahaluf siyasi’, perkara ini didiamkan. 

Inilah asas ‘akhaffu dhororain’ yang dimaksudkan. Mudarat UMNO telah diketahui, namun tahap mudarat PKR dan DAP sangat dicurigai. Tambahan pula kedua-dua parti itu kini telah disertai dan disokong oleh golongan-golongan ideologi songsang yang berfahaman liberalisme, pluralisme, LGBT, memperjuangkan murtad dan sebagainya. Itulah sebabnya PAS pernah berkira-kira untuk meninggalkan pakatan pembangkang. Dengan kata lain, mereka telah pun memasang niat untuk  mengkhianati PKR dan DAP!

Begitulah rapuhnya pakatan pembangkang. ‘Kahwin cerai’ itu adalah perkara biasa bagi mereka. 

Walau bagaimanapun, kerajaan perpaduan tidak menjadi kenyataan. Ini kerana, PAS telah dikuasai oleh puak Anwarinas atau proksi Anwar. Mereka ini yang sengaja dihantar menyusup ke dalam PAS sejak sekian lama telah menjalankan kerja-kerja mereka bagi memastikan kerajaan perpaduan tidak direalisasikan. Kerja-kerja mereka ini tidak sukar kerana para pengikut PAS telah lama termakan propaganda-propaganda pemimpin mereka terhadap UMNO. 

Dalam masa sama, sebahagian orang penting PAS telah diyakinkan dengan suatu muslihat penting yang dikatakan akan dapat memberikan keuntungan yang lebih besar kepada PAS berbanding membentuk kerajaan perpaduan…


Apakah muslihat itu?


Pada muktamar PAS yang lepas, para perwakilan PAS telah memberi mandat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya berjaya memenangi PRU13. 




Perkara ini dilihat tidak logik. PAS hanya bertanding kurang 1/3 daripada keseluruhan kerusi. Manakala lebih 2/3 lagi kerusi ditandingi oleh PKR dan DAP yang menyokong Anwar menjadi PM. Tambahan pula dengan senario politik hari ini yang menyaksikan PR kurang mendapat sokongan daripada kaum selain daripada kaum Cina. Ini terbukti apabila PR telah tewas dalam semua PRK di kawasan majoriti Melayu dan kaum lain selepas PRK Manek Urai. Sebaliknya, dalam PRK dan pilihanraya Sarawak, DAP telah memenangi kesemua kerusi majoriti pengundi Cina. Itulah sebabnya prestasi PAS dijangka merosot, manakala DAP dijangka memenangi banyak kerusi pada PRU13.

Jika inilah situasinya, bagaimana Presiden PAS dapat menjadi Perdana Menteri? 

Jawapannya mudah… PAS hanya mahu menjadi kuasa penentu. Ini samalah seperti senario politik Perak pasca PRU12. Walaupun PAS hanya mempunyai kerusi paling sedikit dalam DUN, iaitu sebanyak 6 kerusi, PAS berjaya mendapatkan jawatan Menteri Besar. Parti-parti lain dalam PR terpaksa menyokong keputusan Sultan Perak pada ketika itu kerana PAS merupakan kuasa penentu. 

Malah, senario politik Perak itu juga telah mendedahkan satu kelemahan besar UMNO! Jika kita masih ingat, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali telah menawarkan jawatan Menteri Besar kepada Nizar dan jawatan  exco kepada kesemua 5 ADUN PAS Perak sekiranya bersetuju bergabung membentuk kerajaan dengan BN. Hal ini jelas menunjukkan bahawa UMNO sanggup memberikan jawatan penting kepada PAS daripada melihat seorang Menteri Besar Melayu Islam menjadi boneka DAP.

Inilah kuasa yang PAS mahukan. PAS tidak pentingkan dengan siapa mereka bergabung. Sebaliknya, mereka mahukan kedudukan yang lebih kukuh, iaitu dengan menguasai jawatan Perdana Menteri dan kementerian-kementerian penting. Jika PR tidak dapat memberikan mereka jawatan Perdana Menteri, tentu sekali UMNO akan menawarkan jawatan itu kepada mereka!

Itulah sebabnya suatu ketika dahulu, apabila Dr. Hasan Ali kecoh di Selangor mengenai isu penjualan arak di kawasan majoriti umat Islam, pertambahan pesat pusat-pusat maksiat, masalah kristianisasi di Selangor dan sebagainya, rakan-rakannya dalam PAS hanya menyebut, “Menang pilihanraya dulu….!”


Risiko


Dalam hal ini, jelaslah bahawa PAS telah mempertaruhkan ummah bagi memenangi jawatan Perdana Menteri. Setiap pertaruhan pasti ada risikonya. Berikut adalah antara risiko pertaruhan PAS… 

a) PAS gagal menjadi penentu

Seperti disebutkan sebelum ini, PAS hanya bertanding tidak sampai 1/3 daripada keseluruhan kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Bagaimana jika kerusi-kerusi yang dimenangi PKR dan DAP sahaja sudah cukup membentuk majoriti kerajaan? Tentulah Anwar yang akan menjadi Perdana Menteri.

b) Hadi Awang tewas

Jika kita lihat prestasi Presiden PAS dalam PRU-PRU lepas, kita dapati prestasi Hadi Awang tidaklah konsisten. Beliau  telah beberapa kali tewas di kawasannya sendiri. Jika ini berlaku, adakah Mat Sabu yang disyaki berfahaman syiah itu akan dilantik menjadi Perdana Menteri? Adakah Malaysia akan menjadi seperti Syria apabila Presiden Basyar al-Asad yang berfahaman syiah memerintah sebuah negara majoriti ahlus-sunnah?



c) Tipu-helah golongan Anwarinas

Bagaimana pula jika muslihat yang dicadangkan kepada PAS ini sebenarnya hanyalah tipu-helah golongan Anwarinas bagi menghalang terbentuknya kerajaan perpaduan? Adakah para Anwarinas di kalangan Ahli Parlimen PAS nanti akan menyokong Hadi Awang sebagai Perdana Menteri? Atau mereka akan muncul dengan tipu-helah lain pula bagi memastikan Anwar tetap menjadi Perdana Menteri?

d) Parti komponen BN lompat parti

Kita semua sedia maklum bahawa terdapat parti komponen BN tidak selesa dengan PAS. Bagaimana jika parti-parti komponen ini lompat parti bagi menghalang PAS daripada menjadi Perdana Menteri?  Pada ketika itu, PAS akan hilang kuasa penentunya!

Jelas sekali, pertaruhan PAS ini amat berisiko kepada umat Islam. Tambahan pula, mereka cuba bermain muslihat dengan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP yang jauh lebih licik daripada mereka!!

Bukankah lebih selamat jika memilih ‘akhaffu dhororain’?




No comments:

Post a Comment