Thursday, 7 November 2013

NR vs AI: ke mana duit minyak patut dibelanjakan??




Katakan anda merupakan seorang hartawan yang  kaya-raya hasil penanaman pisang di kampung anda. Andaikan nama kampung ini adalah Kampung Pisang. Sebagai seorang yang dermawan, anda ingin menggunakan hasil perusahaan ini bagi membantu mengubah nasib penduduk Kampung Pisang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, status, pendidikan dan sebagainya. 

Lalu anda bertemu seorang konsultan bernama Ahmad Ismail atau lebih dikenali sebagai AI. Menurut AI, sebagai kampung pengeluar pisang terkemuka, kita perlu pastikan bahawa penduduk Kampung Pisang mendapat manfaat pisang sepenuhnya. AI mencadangkan agar setiap pisang di Kampung Pisang dijual pada harga murah, di bawah harga pasaran. Dengan cara ini, penduduk Kampung Pisang akan menikmati  harga pisang yang murah. Di samping itu juga, produk-produk berasaskan pisang seperti pisang goreng, kerepek pisang, pengat pisang, kek pisang dan jus pisang akan dapat diturunkan harga. 

Anda bersetuju dengan pandangan AI lalu melaksanakan cadangan tersebut. Penduduk Kampung Pisang berasa gembira dan menikmati pisang dengan sepuas-puasnya. Lalu konsumsi pisang di Kampung Pisang melonjak. 

Setelah beberapa tahun, anda menyedari bahawa walaupun pengeluaran pisang syarikat anda meningkat dengan banyak, keuntungan syarikat anda tidak melonjak dengan kadar sepatutnya. Ini kerana, sebahagian besar daripada pertambahan pengeluaran itu digunakan untuk memenuhi permintaan pisang di Kampung Pisang yang turut melonjak naik.

Selain itu, anda dapati bahawa penduduk Kampung Pisang tidak mendapat banyak manfaat. Yang mereka dapat hanyalah pisang! Anda juga mendapati harga pisang yang murah juga tidak menguntungkan golongan sasaran. Disebabkan kemampuan yang terhad, golongan miskin kurang berbelanja untuk membeli pisang. Mereka lebih banyak menumpukan perbelanjaan mereka kepada barangan asas. 

Sebaliknya, golongan pertengahan dan kaya pula yang lebih banyak mendapat manfaat. Mereka mampu membeli pisang dengan jumlah yang lebih banyak, lebih daripada yang mereka mampu makan, sehingga banyak pisang yang dibeli dibiarkan busuk begitu sahaja. Oleh demikian, pembaziran pisang juga meningkat. 

Ini belum termasuk peningkatan aktiviti penyeludupan pisang oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab dan ketirisan manfaat pisang ini kepada orang luar yang datang ke Kampung Pisang. Ini sudah tentunya menjejaskan lagi prestasi syarikat anda untuk berkembang dengan lebih pesat. 

Menyedari kekusutan ini, anda menemui rakan lama anda, Nazarry Rosli atau NR yang lebih mahir dalam perancangan ekonomi berbanding AI yang hanya mahir bersastera dan mempesona orang ramai dengan ungkapan kata-kata. Menurut NR, adalah lebih baik sekiranya syarikat anda menjual pisang pada harga pasaran. Hasil keuntungan jualan itu bolehlah digunakan untuk bantuan bersasar, pelaburan semula dan pelaburan progresif. 

Dengan bantuan bersasar, anda boleh memberikan bantuan terus kepada golongan sasaran. Ini termasuk bantuan barangan asas kepada golongan miskin, bantuan pelajaran dan biasiswa kepada pelajar-pelajar berpotensi, pembiayaan perumahan rakyat termiskin, perniagaan dan sebagainya.

Dengan pelaburan semula hasil keuntungan itu pula, anda dapat meningkatkan produktiviti dan jualan syarikat bagi memastikan prestasi syarikat bertumbuh dengan pesat. Peningkatan pendapatan syarikat akan membolehkan lebih banyak bantuan dan manfaat diberikan kepada penduduk Kampung Pisang di masa-masa akan datang.

NR juga mencadangkan agar anda melakukan pelaburan progresif di Kampung Pisang. Ini termasuklah dengan membuat pelbagai prasarana di Kampung Pisang yang boleh menarik pelaburan-pelaburan syarikat lain. Hasilnya, lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di Kampung Pisang. Jumlah pengangguran akan berkurang. Ini sudah pastinya dapat mengeluarkan ramai orang daripada kepompong kemiskinan. 

Peluang pekerjaan yang banyak juga boleh meningkatkan pendapatan golongan pertengahan. Dengan pilihan yang lebih banyak, mereka lebih bebas memilih kerjaya yang menawarkan tawaran yang lebih baik. Para majikan pula terpaksa menawarkan insentif-insentif menarik kepada para pekerja bagi mengelakkan mereka berhijrah ke syarikat lain.

Menurut NR lagi, pertambahan pendapatan akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Kampung Pisang. Ini disebabkan lebih ramai orang mampu berbelanja. Bisnes-bisnes seperti gerai di tepi jalan, restoran, klinik, kedai pakaian, tukang rumah, pasar malam dan sebagainya turut mendapat lonjakan pendapatan. Malah, lebih banyak bisnes-bisnes baru akan muncul. 

Rentetan daripada itu, lebih ramai penduduk Kampung Pisang mendapat kelayakan pembiayaan daripada pihak bank. Dengan cara ini, jutaan ‘wang baru’ dapat diwujudkan di Kampung Pisang. Wang ini akan melonjakkan pendapatan pengeluar, pengusaha dan agen penjual kereta, pemaju perumahan, kontraktor rumah, agen hartanah, tukang cat, arkitek, jurutera, tukang besi dan kesemua mereka yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung. Maka kegiatan ekonomi di Kampung Pisang akan terus meningkat berlipat kali ganda.

Inilah yang disebutkan oleh NR sebagai ‘Lonjakan Berganda’. Anda yakin sekiranya apa yang disarankan oleh NR dilaksanakan, penduduk Kampung Pisang akan beroleh manfaat yang jauh lebih besar dan menyeluruh dan bukan hanya semata-mata pisang yang murah seperti sebelum ini. 

Dengan cara ini juga anda dapat membela nasib golongan miskin, menambah pendapatan golongan menengah, meluaskan peluang golongan kaya, meningkatkan ekonomi Kampung Pisang secara keseluruhannya dan dalam masa sama tidak menyekat potensi pertumbuhan syarikat anda.  

Anda berasa kesal kerana tidak mendapatkan pandangan daripada NR sebelum ini. Anda juga berasa marah kerana terpedaya dengan sihir kata-kata yang diungkapkan oleh AI. Nyata sekali, cadangan AI tidak banyak membantu mengubah kehidupan penduduk Kampung Pisang. 

Lalu anda bekerjasama dengan NR untuk melakukan transformasi di Kampung Pisang. Anda yakin dengan transformasi ini, anda dapat melonjakkan Kampung Pisang menjadi sebuah kampung maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bersambung… 


Tuesday, 3 September 2013

kenaikan harga minyak: rafizi kantoi main silap mata lagi!



Baru-baru ini, Pengarah Strategi PKR, YB. Rafizi Ramli telah memaparkan respon terhadap rasionalisasi subsidi oleh kerajaan dalam blog beliau. Sila rujuk di sini: http://rafiziramli.com/2013/09/harga-minyak-naik-dato-seri-najib-bebankan-rakyat-atas-kegagalan-sendiri/

Kami tidak mahu mengulas trik-trik lama beliau seperti membangkitkan isu subsidi korporat yang kononnya tiada kepentingan dan hanya mengayakan kroni dan sebagainya.

Di sini kami hanya ingin mendedahkan beberapa bentuk 'helah nombor' yang diguna pakai dalam respon tersebut dalam cubaan beliau untuk mengaburi mata rakyat tentang fakta sebenar.

Rakyat golongan sederhana dan miskin paling terkesan dengan kenaikan harga minyak?


Rafizi menyebutkan:


"Pendapatan dan perbelanjaan setiap isirumah adalah berbeza-beza mengikut taraf sosioekonomi keluarga. Mengikut kajian yang dibuat oleh MIER dan berdasarkan Kajiselidik Belanja Isirumah 2009/10, anggaran perbelanjaan untuk petrol dan diesel mengikut kategori pendapatan keluarga adalah seperti berikut:
Pendapatan bulanan isirumah (RM)
% belanja isirumah membiayai petrol dan diesel
<500
35
500 – 1,000
27
1,000 – 2,000
25
2,000 – 3,000
22
3,000 – 4,000
20
> 4,000
10
Ini bermakna, keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana secara puratanya membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka setiap bulan untuk membiayai petrol dan diesel (oleh kerana pendapatan mereka lebih rendah dan bahan api adalah keperluan). Oleh itu, kenaikan harga minyak sudah tentu menekan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana jumlah tanggungan tambahan setiap bulan adalah besar berbanding pendapatan bulanan mereka."

Jika dilihat secara zahir data yang dikemukakan, kelihatan seolah-olah golongan miskin benar-benar merupakan golongan yang paling terjejas disebabkan oleh penstrukturan semula subsidi minyak. Mari kita teliti dengan lebih mendalam...
Menurut data di atas, golongan berpendapatan di bawah RM500 sebulan dikatakan menggunakan sebanyak 35% belanja isirumah untuk membiayai petrol. Ini bermakna, mereka membelanjakan sebanyak RM175 (RM500 x 35%) sebulan untuk perbelanjaan minyak. Persoalannya, benarkah golongan yang tidak mampu membeli kenderaan atau hanya bermotosikal ini berbelanja sebanyak itu untuk minyak??
Itulah sebabnya kami meragui kesahihan data di atas.
Jika kita lanjutkan pengiraan, berdasarkan harga minyak RON95 sebelum ini iaitu RM1.90 seliter, jumlah penggunaan minyak oleh golongan berpendapatan bawah RM500 adalah kurang daripada 92 liter (RM175/RM1.90 per liter) sebulan. Dengan pengurangan subsidi minyak sebanyak 20 sen, kenaikan perbelanjaan minyak bagi golongan ini adalah kurang daripada RM18 sebulan.
Jika kita lanjutkan lagi pengiraan bagi golongan pendapatan lain yang lebih tinggi, kita akan perolehi jadual seperti di bawah:

Pendapatan bulanan isirumah (RM)
% belanja isirumah membiayai petrol dan diesel
Belanja isirumah membiayai petrol dan diesel (RM)
Jumlah penggunaan petrol sebulan (liter)
Jumlah subsidi petrol diterima setiap bulan (RM)
Jumlah kenaikan perbelanjaan bulanan apabila subsidi dikurangkan sebanyak 20 sen
Sebulan
Tahunan
<500
35
175
92.11
73.68
884.21
18.42
500 – 1,000
27
270
142.11
113.68
1364.21
28.42
1,000 – 2,000
25
500
263.16
210.53
2526.32
52.63
2,000 – 3,000
22
660
347.37
277.89
3334.74
69.47
3,000 – 4,000
20
800
421.05
336.84
4042.11
84.21

Berdasarkan jadual ini, kita dapat lihat dengan jelas bahawa golongan yang paling kurang terjejas adalah golongan berpendapatan paling rendah iaitu kurang daripada RM18 sebulan.
Daripada jadual ini juga kita dapati bahawa golongan berpendapatan RM4,000 dan ke atas mendapat subsidi sekurang-kurangnya RM336.84 sebulan atau RM4,042.11 setahun manakala golongan berpendapatan paling rendah mendapat hanya RM73.68 sebulan atau RM884.21 setahun. 
Dengan kata lain, golongan berpendapatan tinggi mendapat sekurang-kurangnya 360% lebih banyak subsidi berbanding golongan berpendapatan paling rendah!
Bayangkan sekiranya negara melaksanakan manifesto pembangkang yang mahu menambah subsidi minyak bagi menurunkan harga RON95 kepada RM1.50 seliter. Maka jumlah subsidi yang diterima oleh golongan berpendapatan tinggi akan meningkat melebihi RM500 sebulan atau RM6,000 setahun.

Wajarkah golongan yang setiap ahli keluarga berkereta, minum teh tarik RM4, iced mocha RM15, 
makan nasi lemak RM8, lamb chop RM30, nasi arab RM25, burger RM10, mengguna telefon pintar berharga ribuan ringgit, memakai pakaian berjenama dan bercuti ke luar negara setiap tahun ini diberi subsidi melebihi RM500 sebulan? Bukankah lebih baik diberikan kepada mereka yang tidak mampu membeli kenderaan atau hanya mampu bermotosikal dan berbelanja hanya RM100 sebulan untuk makan sekeluarga?
Ini jelas menunjukkan bahawa subsidi negara perlu dirasionalisasikan agar menjadi lebih adil. Ini dilakukan dengan mensasarkan subsidi terus kepada golongan yang benar-benar layak melalui program-program subsidi bersasar seperti BR1M, KR1M, MyKASIH, KAR1SMA dan sebagainya.
Sekali lagi diingatkan, pengiraan di atas adalah hanya berdasarkan kepada data yang dikemukakan oleh Rafizi yang kita ragui ketepatannya. Kami percaya angka sebenar adalah jauh lebih dahsyat!

Trend harga minyak menurun?
Rafizi cuba bermain silap mata sekali lagi dengan menunjukkan carta kononnya trend harga minyak dunia menurun. Berikut adalah carta yang dikemukakan oleh Rafizi:

Jika diperhatikan, carta ini diambil dalam tempoh Disember 2010 sehingga Jun 2013.  Persoalannya, kenapa tidak dipaparkan carta ini dari tempoh yang lebih awal? Dan mengapa hanya sehingga Jun 2013, bukan sehingga tarikh terkini?
Berikut adalah carta harga minyak mentah Brent dalam tempoh 4 tahun, iaitu dari September 2009 sehingga ke hari ini. Adakah ini trend penurunan??

Berikut pula adalah carta minyak mentah Brent jika dilihat lebih dekat dalam tempoh 6 bulan lepas.

Maka tidak hairanlah mengapa Rafizi  memaparkan carta hanya setakat Jun 2013! 

Apabila ahli politik menggunakan helah nombor..
Jelas sekali, respon Rafizi ini hanyalah merupakan helah nombor bagi memperdaya orang ramai termasuk segelintir 'intelektual' jahil yang 'arrogant' agar mempercayai kononnya rasionalisasi subsidi ini menekan golongan miskin bagi kepentingan golongan kaya. Hakikatnya, langkah ini adalah bagi menuntut hak golongan miskin yang kini sedang dibolot oleh golongan kaya. 


“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. 
Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan,
 pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. 
Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” 
Ada yang bertanya, 
“Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?”.
 Baginda menjawab, 
“Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” 
(Riwayat Ibnu Majah)
Jika syarikat korporat seperti Enron suatu masa dahulu menggunakan helah nombor untuk menipu para pelabur, siapakah yang cuba ditipu oleh ahli politik yang mengamalkan helah nombor sebegini??


Artikel berkaitan:




Thursday, 2 May 2013

MESTI BACA!!! apa muslihat DAP?




Pada hari ini, ramai orang mempertikaikan bagaimana DAP yang hanya bertanding di 51 kerusi dapat menawan Malaysia sedangkan bagi mendapat majoriti kerusi di Parlimen, sesebuah parti memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi. Malah, poster berikut dibuat dan diedarkan sekitar alam siber..




Jika dilihat hanya pada permukaan, kenyataan ini kelihatan sangat logik. Ia mendapat ‘likes’ dan ‘shares’ daripada ramai orang awam. Tidak sekadar itu, ia turut menjadi hujah bagi sebahagian ‘cerdik pandai’ yang baru sehari dua mengenal politik.

Itulah sebabnya, urusan umat ini tidak seharusnya diserahkan kepada orang di jalanan. Ia juga tidak harus diserahkan kepada sebahagian ‘cerdik pandai’ yang ‘idealis’ yang hanya hebat berkata-kata, berbahasa dengan bahasa mempesonakan orang awam dan memperlekeh orang dengan sewenang-wenangnya. Hakikatnya, sebahagian mereka ini tidak pernah pun menjejakkan kaki dalam dunia politik, apatah lagi dapat menghidu tipu muslihat para politikus.


Realiti pakatan


Dalam Barisan Nasional, kita semua faham bahawa UMNO adalah parti teras. Walaupun terdapat 14 buah parti di dalamnya, UMNO menguasai kesemua jawatan penting dalam Barisan Nasional termasuk jawatan Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha Agung, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Setiausaha Kerja. Manakala presiden-presiden parti komponen lain hanya menjawat jawatan Naib-naib Pengerusi.

UMNO juga bertanding sebanyak 117 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen. Kebiasaannya apabila Barisan Nasional memenangi majoriti 2/3, kerusi Parlimen kerajaan yang dipegang oleh wakil rakyat Melayu Islam sahaja sudah melebihi 51% daripada kerusi Parlimen. 

Apabila kabinet dibentuk, kesemua jawatan penting dipegang oleh wakil-wakil UMNO. Ini termasuklah jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan jawatan-jawatan Menteri dan Timbalan Menteri bagi kementerian-kementerian penting. 

Begitulah dominannya kuasa UMNO yang mewakili umat melayu Islam negara ini dalam Barisan Nasional. Itulah sebabnya UMNO tidak mempunyai masalah dalam menjaga kepentingan-kepentingan strategik negara agar kekal berada di tangan umat Melayu Islam.  Ini termasuklah sistem pendidikan, ketenteraan, polis, kehakiman, bank-bank penting, dana-dana kewangan penting seperti KWSP dan PNB, syarikat-syarikat teras negara, Majlis Agama Islam dan sebagainya. 

Ini jauh berbeza dengan Pakatan Rakyat. PAS, PKR dan DAP bergabung dengan tiga kepala dan tiga ideologi berbeza. Mereka tidak mempunyai sebuah parti teras seperti UMNO dalam Barisan Nasional. Mereka tidak dapat tentukan siapa bakal Perdana Menteri. Mereka juga tidak memberikan gambaran penuh siapakah yang bakal menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan.

Apabila tiada parti teras, mereka terpaksa melancarkan muslihat-muslihat di antara satu sama lain. Ini bagi memastikan parti masing-masing menjadi lebih dominan dalam Pakatan Rakyat. Mereka juga menyusupkan proksi-proksi dalam parti-parti rakan mereka. Itulah sebabnya di dalam PAS ada proksi Anwar dan dalam PKR ada proksi PAS dan DAP.  

Sebagai contoh, terdapat tokoh-tokoh tertentu yang memang dikenali sebagai sekutu rapat Anwar kini menjawat jawatan penting dalam PAS serta menjadi wakil Rakyat PAS. Begitu juga terdapat tokoh-tokoh tertentu yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai ‘orang PAS’ telah menjadi ahli PKR dan menjadi wakil rakyat PKR. 

Maka tidak hairanlah jika kepentingan-kepentingan Anwar dijaga rapi oleh proksi-proksinya di kalangan ahli PAS yang kini telah menguasai jawatan-jawatan penting dalam PAS. Manakala proksi-proksi PAS dalam PKR pula semakin lemah. Sebahagian sudah tidak dapat menahan diri lagi setelah mengetahui hakikat diri Anwar yang sebenar. Ada di kalangan mereka yang telah keluar parti dan ada juga yang telah dipecat. Dalam pilihanraya kali ini juga kita dapati tidak ramai proksi PAS yang menjadi calon bagi PKR.

Berbeza pula dengan DAP. Mereka lebih licik. Sekarang ini, mereka tidak lagi menzahirkan diri mereka yang sebenar. Kebanyakan strategi mereka dilancarkan secara halus. Mereka tidak merebut jawatan Perdana Menteri sepertimana PAS dan PKR berebut antara satu sama lain. 

Mereka kini menonjolkan imej mesra Melayu dan Islam. Mereka sudah kurang menunjukkan penentangan terhadap hudud dan negara Islam. Mereka memberikan banyak peruntukan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Mereka membenarkan Pakatan Rakyat meletakkan lebih ramai calon Melayu berbanding Barisan Nasional. Mereka sendiri hanya bertanding di 51 kawasan Parlimen!


Sasaran DAP


Bagi orang awam yang baru sehari dua mengenal politik tidak akan dapat membaca muslihat DAP. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Berdasarkan pemerhatian, 90% daripada penyokong Pakatan Rakyat hanya mengikuti perkembangan politik negara selepas September 1998 atau lebih lewat dari itu lagi. Itulah sebabnya mereka mudah ditipu dengan pelbagai silap mata pembangkang. 

Sebahagian mereka yang beragama Islam tidak lagi menganggap DAP sebagai ancaman bagi umat Islam. Tiada lagi sikap waspada terhadap DAP. Ini kerana mereka tidak tahu asal-usul DAP. Mereka merasakan DAP tidak kuat kerana mereka hanya bertanding di 51 kawasan Parlimen. 

Namun bagi mereka yang biasa dengan strategi politik, helah dan muslihat mereka dapat dihidu dari jarak beribu batu lagi!

Bagi orang awam, mereka terpengaruh dengan tipu-daya propaganda pembangkang, ‘DAP hanya bertanding di 51 kawasan Parlimen’ dan ‘calon Melayu Pakatan Rakyat lebih ramai berbanding Barisan Nasional’






Namun mereka tidak sedar bahawa hampir kesemua kerusi yang ditandingi oleh DAP adalah di kawasan selamat! Manakala kebanyakan kerusi yang ditandingi oleh calon-calon Melayu yang dikatakan lebih ramai daripada Barisan Nasional ini hanya bertanding di kawasan yang 50-50 atau tidak selamat. 

Inilah silap mata politik!

Sifirnya mudah. Majoriti pengundi Cina di seluruh negara menyokong Pakatan Rakyat. Manakala majoriti pengundi Melayu, India dan lain-lain menyokong Barisan Nasional. Berdasarkan perkiraan, laluan Pakatan Rakyat adalah lebih mudah sekiranya jumlah pengundi Cina di sesuatu kawasan melebihi 36%. 

Oleh demikian, DAP yang hanya bertanding di kawasan majoriti kaum Cina sudah pasti mendapat kelebihan berbanding PKR dan PAS. Begitu juga dengan proksi-proksi DAP dalam PKR yang juga kebanyakannya bertanding di kawasan-kawasan selamat. Sasaran mereka adalah bagi memenangi sekurang-kurangnya 60 kerusi.


Apa yang mereka boleh buat dengan 60 kerusi?


Sebenarnya Pakatan rakyat tidak meletakkan sasaran yang tinggi. Mereka hanya mahu mendapat majoriti mudah, iaitu sekitar 115 ke 120 kerusi. Jika ini berlaku, maka DAP dan proksi mereka akan menguasai sekurang-kurangnya separuh daripada kesemua kerusi yang dipegang oleh kerajaan Pakatan Rakyat. 

Namun ini tidak dapat dilihat secara kasar kerana kerusi yang benar-benar dimiliki DAP mungkin hanya lebih kurang 44 kerusi sahaja. Selebihnya adalah dipegang oleh proksi mereka di dalam PKR. 

Jadi, adakah DAP akan mendapat jawatan Perdana Menteri? Jawapannya TIDAK! 

Mereka bijak dan licik. Mereka memahami sentimen majoriti umat Melayu di negara ini. Itulah sebabnya ketika PKR kehilangan majoriti kerusi di kalangan parti pembangkang disebabkan ramai wakil rakyatnya yang lompat parti, DAP tidak menuntut jawatan Ketua Pembangkang. Mereka sebaliknya bersetuju mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang. Ini bagi mengelakkan daripada mereka terus hilang sokongan di kalangan pengundi Melayu. Malah, dalam banyak acara, kita dapat lihat mereka lebih menonjolkan Anwar berbanding diri mereka sendiri.

Sekiranya Pakatan Rakyat menang, DAP akan memilih Anwar sebagai Perdana Menteri. Ini samalah seperti kerajaan Pakatan Rakyat yang terbentuk di Perak selepas PRU12 lepas. Walaupun Nizar Jamaluddin daripada PAS menjadi Menteri Besar, majoriti kerusi yang dipegang oleh kerajaan negeri pada ketika itu adalah dipegang oleh DAP. Itulah sebabnya majoriti Exco Kerajaan Negeri ketika itu adalah wakil rakyat DAP. Dengan kata lain, walaupun Nizar menjadi Menteri Besar, tangan dan kakinya diikat! Itulah sebabnya beliau digelar MB boneka.

Dalam Barisan Nasional, perkara sebegini juga berlaku. Ketika jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dipegang oleh Gerakan, majoriti kerusi DUN yang dipegang oleh ADUN Barisan Nasional adalah dari kalangan ADUN UMNO. Itulah sebabnya sekalipun Presiden Gerakan memegang jawatan Ketua Menteri, beliau dikawal oleh ADUN-ADUN UMNO.

Kerajaan seperti inilah yang diharapkan oleh DAP. Dengan cara ini, mereka akan dapat melakukan gerakan-gerakan strategik lain bagi mengukuhkan kedudukan mereka bagi jangka panjang. Ini sudah pasti akan dibantu oleh ‘kawan lama’ mereka di selatan tanah air.


Jangka masa panjang.


Ramai orang tidak sedar bahawa politik bukanlah suatu yang statik. 

Suatu masa dahulu, negara ini hanya dihuni oleh orang-orang Melayu. Itulah sebabnya negara ini suatu masa dahulu dikenali sebagai 'Tanah Melayu'. Namun setelah itu, bangsa-bangsa lain sengaja ‘ditanam’ di negara ini oleh pihak British bagi kepentingan strategik jangka masa panjang mereka. Itulah sebabnya antara syarat kemerdekaan negara yang ditetapkan adalah memberikan kerakyatan kepada 1 juta kaum Cina dan India di negara ini.

Sewaktu negara merdeka, negara yang terbentuk hanyalah terdiri daripada negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu. Namun setelah itu, kita telah bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia. Umat Islam pada ketika itu pernah kehilangan majoriti. Itulah sebabnya Singapura terpaksa disingkirkan.

Di Singapura pula, pada asalnya terdapat banyak perkampungan Melayu. Namun, atas kelicikan Lee Kuan Yew yang mendapat pertolongan penasihat pertahanan dari Israel, mereka telah berjaya menghilangkan kesemua kawasan majoriti Melayu di Singapura. Kadar kesuburan orang Melayu Singapura sentiasa lebih tinggi daripada kaum-kaum lain. Walau bagaimanapun, peratusan komposisi etnik mereka sentiasa menurun dari tahun ke tahun!






Umat Islam di Sabah juga pernah kehilangan majoriti di Sabah. Ini disebabkan oleh gerakan kristianisasi yang kuat sehingga ramai penduduk di pedalaman Sabah dikristiankan. Itulah sebabnya kerajaan Kristian pernah terbentuk di Sabah. Kesannya dapat dilihat sehingga hari ini. Kita dapat lihat banyak gereja dengan papan tanda besar di seluruh negeri Sabah. Namun majoriti umat Islam telah berjaya dikembalikan apabila masyarakat Islam Sulu yang telah lama menetap di Sabah diberikan kerakyatan. 

Kita juga dapat lihat di banyak bandar, pada mulanya hanya diduduki oleh kaum Cina. Namun, setelah flat-flat murah dibina seperti flat DBKL, perumahan rakyat dan sebagainya, ramai orang Melayu tinggal di bandar seterusnya 'dilute' majoriti kaum Cina. 

Kerajaan DAP Pulau Pinang pula berbeza. Sama seperti apa yang dilakukan di Singapura, mereka menghentikan pembinaan perumahan kos rendah. Mereka hanya menumpukan kepada pembinaan perumahan-perumahan mahal yang tidak mampu dibeli oleh kebanyakan orang Melayu. Malah, banyak juga dijual kepada warga Singapura. Mungkinkah suatu masa nanti mereka pula akan diberikan kerakyatan?

Kawasan-kawasan Parlimen dan DUN juga bukanlah sesuatu yang tetap. Pada hari ini kita dapat lihat aktiviti pemindahan pengundi rancak dilakukan. Sebagai contoh, sebelum pembubaran Parlimen, DAP telah memindahkan sekitar 4000 pengundi ke Gelang Patah bagi menjadikan kawasan itu sebagai kawasan boleh menang. Persempadanan semula kawasan Parlimen juga boleh dilakukan sekiranya mendapat sokongan 2/3 wakil rakyat di Parlimen. Kerusi-kerusi di kawasan-kawasan tertentu boleh ditambah. 

Kami tidak mahu menceritakan segala kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya DAP berjaya bertapak dalam kerajaan Malaysia. Cukup sekadar kami memberi peringatan kepada seluruh umat Islam agar sentiasa berwaspada. Jangan berasa terlalu selesa. Politik penuh dengan segala kemungkinan. Musuh sentiasa mengintai dan cuba mengambil kesempatan. 

Kami pasti, segalanya tidak akan dilakukan dalam masa terdekat dan terang-terangan. PRU 13 hanyalah permulaan. Mereka perlu menguasai minda rakyat Malaysia terlebih dahulu. Tidak mustahil pada suatu hari nanti, disebabkan ‘kematangan politik’, rakyat sendiri akan menghapuskan institusi Raja-raja Melayu kerana ia dilihat kolot dan bercanggah dengan idea “Liberal Democracy” ala barat yang dikatakan moden. Padahal, institusi ini merupakan insurans penting umat Islam di negara ini. 

Tidak mustahil juga mereka sendiri akan membuka pintu kepada Singapura untuk kembali bergabung dengan Malaysia. Malah, suatu masa nanti, mereka sendiri akan melantik seorang bukan Islam sebagai Perdana Menteri atas dasar ‘keterbukaan minda’.

Pada hari ini sahaja kita telah dapat lihat benih-benihnya. Begitu ramai umat Islam yang terpesona dengan idea-idea barat sebegini, termasuk di kalangan para ilmuan agama. Dalil-dalil ditafsirkan mengikut kehendak idea “Liberal Democracy”. Neraca keadilan, kebebasan, hak dan sebagainya bukan lagi terletak pada al-Quran dan as-Sunnah, tetapi pada idea “Liberal Democracy”. Sekiranya sesuatu itu bertepatan dengan kehendak “Liberal Democracy” maka ia akan dikatakan benar dan adil. Jika sebaliknya, ia dikatakan salah dan zalim.


Rasulullah SAW pernah bersabda: 

“Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, 
sejengkal demi sejengkal, 
sehasta demi sehasta, 
sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun 
kamu akan mengikuti mereka.” 

Sahabat bertanya: 

“Wahai Rasulullah, 
apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” 

Nabi SAW menjawab: 
“Siapa lagi kalau bukan mereka?” 

(Riwayat Muslim)


Mereka tidak sedar bahawa ideologi ini sebenarnya adalah perangkap yang sengaja dipasang untuk mengkucar-kacirkan dunia. Dengan ini, pihak-pihak ini dapat meluaskan kekuasaan mereka melalui penjajahan bentuk baru. Benihnya telah ditanam sejak lama dahulu. Seperti yang kami sebutkan sebelum ini, siapakah yang ‘menanam’ golongan bukan Islam kaum Cina dan India di sini? Dan siapakah yang mewujudkan sempadan wilayah-wilayah umat Islam di nusantara?

Sewaktu berlakunya Peristiwa 13 Mei dahulu, orang Melayu boleh mengamuk. Kedudukan umat Melayu juga selamat kerana mereka menguasai pasukan keselamatan. ‘Orang di selatan’ juga baru sahaja membina pasukan ketenteraan mereka. Namun pada hari ini, mereka juga telah mempunyai kekuatan ketenteraan. Bukan calang-calang, tapi antara yang terkuat di dunia!

Berwaspadalah, jangan tersilap langkah…

Monday, 29 April 2013

turun harga minyak lebih baik daripada BR1M?





Post kami yang bertajuk "Kebajikan rakyat: PR vs BN" merupakan post yang mendapat hits paling banyak selepas post "Anwar, Mahathir, Najib dan Bursa". Dalam post tersebut kami membandingkan secara ringkas di antara idea PR yang mahu menurunkan harga minyak, menurunkan harga kereta, menghapuskan tol dan sebagainya dengan idea BN yang menyasarkan bantuan hanya kepada golongan-golongan sasaran sahaja melalui program BR1M, KAR1SMA, KR1M, MYKASIH dan sebagainya.


Kami telah membandingkan kedua-dua idea ini dari aspek keadilan serta manfaat kepada rakyat secara keseluruhan. 


Baru-baru ini Datuk Seri Najib dalam sebuah ucapannya menyebutkan:



“Kita kurangkan (harga) minyak siapa untung? Orang kaya yang untung. Orang kaya yang bawa kereta besar pun untung. Pekerja asing pun untung.

“Bila kita bagi BR1M siapa untung? Rakyat yang untung. Sekarang ini kita dapat lima keping. Ada yang ketaq lutut orang Kedah kata. “Bila dapat BR1M bukan sahaja rakyat untung tapi pekedai untung, peniaga pasar tani, pasar minggu pun untung.

“Ekonomi semakin berkembang,”

Namun ramai di kalangan penyokong PR yang 'perasan bijak' telah memperlekehkan ucapan Datuk Seri Najib ini. Mereka berkata kononnya Datuk Seri Najib tidak reti ekonomi, tak pandai kira, serta menyindir kononnya kalkulator kerajaan rosak.


Di sini kami ingin menyangkal kepercayaan karut sesetengah pihak kononnya menurunkan harga minyak lebih baik daripada pemberian BR1M.



Penurunan harga minyak akan menyebabkan penurunan harga barang?



Ramai yang percaya bahawa jika harga minyak naik maka harga barang pun naik. Harga barang juga akan turun jika harga minyak turun. 


Pandangan ini sebenarnya adalah pandangan yang dangkal. Tidak dinafikan bahawa minyak adalah sebahagian daripada kos, terutama kos pengangkutan. Namun, ia bukanlah faktor yang penting. Jika diikutkan, gaji pekerja adalah kos yang lebih penting. Tetapi mengapa mereka tidak mengatakan sekiranya PR menaikkan gaji minima seperti yang tercatat dalam manifesto mereka, harga barang akan naik? 


Selepas berlakunya kenaikan harga minyak dunia beberapa tahun dahulu, kita dapati syarikat pengangkutan seperti Air Asia masih lagi mencatatkan keuntungan pada tahun-tahun berikutnya walaupun mereka tetap mengenakan harga tambang yang murah. Jelas sekali kenaikan harga minyak seolah-olah tidak memberikan kesan kepada Air Asia. Mereka hanya perlu pastikan bahawa mereka dapat meningkatkan jumlah penumpang mereka.


Begitu juga dengan harga barang. Biasanya apabila berlaku kenaikan harga minyak, kenaikan kos per produk boleh dikatakan sifar sekiranya jumlah penghantaran tidak menurun dengan signifikan. Sebagai contoh, kenaikan kos minyak sebanyak RM20 bagi sebuah penghantaran akan menaikkan kos per produk sebanyak hanya 1 sen bagi penghantaran 2000 unit produk. Namun, ia akan meningkat kepada 10 sen jika penghantaran menurun kepada hanya 200 unit. 


Jelas sekali, harga minyak bukanlah faktor penting dalam menentukan harga barang. Apatah lagi apabila dikatakan penurunan harga minyak dikatakan boleh menurunkan harga barang.



Penurunan harga minyak mendatangkan manfaat kepada lebih ramai orang?



Dari satu sudut, pandangan ini boleh dikatakan benar. Ini kerana penurunan harga minyak boleh dinikmati oleh kesemua lapisan masyarakat samaada kaya, menengah atau miskin.


Namun, apa yang menjadi persoalan adalah keberkesanannya kepada golongan sasaran. Sepertimana yang disebutkan dalam post sebelum ini, subsidi minyak lebih banyak pergi kepada golongan kaya dan berpendapatan menengah atas. 


Kajian IMF pada 2007 menunjukkan bahawa golongan kaya mendapat lebih daripada 5 kali ganda subsidi berbanding yang didapati oleh golongan miskin. Sebagai contoh, sekiranya golongan miskin yang hanya mempunyai sebuah motosikal yang dikongsi oleh kesemua ahli keluarga mendapat subsidi minyak sebanyak RM50 sebulan, maka golongan kaya yang kesemua ahli keluarga mereka mempunyai kereta, lebih banyak travel, lebih boros menggunakan minyak akan mendapat subsidi sebanyak RM250 sebulan atau lebih.


Persoalannya, adilkah pengagihan subsidi sebegini? Layakkah golongan kaya mendapat subsidi sebanyak itu? Malah bagi golongan kaya, RM250 itu langsung tidak memberi kesan dan tidak langsung dipandang oleh mereka. Bukankah lebih baik wang ini diberikan terus kepada mereka yang memerlukan?





Penurunan harga minyak yang dicadangkan oleh PR hanya memberikan kesan sebanyak beberapa ringgit sebulan kepada golongan miskin tetapi memberikan wang ekstra yang lebih banyak kepada golongan kaya. 


Jumlah tambahan subsidi diperlukan bagi menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.50 seliter adalah sekurang-kurangnya sebanyak RM7 billion. Ini menyamai kos pemberian BR1M sebanyak RM1200 setahun kepada 6 juta orang golongan berpendapatan menengah rendah ke bawah. 



Namun jika dibandingkan, penurunan harga minyak sebanyak itu mungkin akan mendatangkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM100 atau lebih sebulan bagi golongan kaya dan menengah atas tetapi hanya beberapa puluh ringgit sebulan bagi golongan berpendapatan menengah rendah. Malah ia mungkin hanya memberi penjimatan hanya beberapa ringgit sebulan bagi golongan miskin! Manakala dengan BR1M yang diberikan sebanyak RM1200 setahun akan mendatangkan lebihan wang sebanyak purata RM100 sebulan kepada mereka. Ini tidak termasuk bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan khusus kepada golongan miskin.


Ini jelas menunjukkan pemberian BR1M memberikan manfaat yang lebih kepada golongan sasaran jika dibandingkan dengan penurunan harga minyak.



Golongan menengah dapat apa?



Apabila kerajaan memutuskan untuk memberika BR1M, ramai yang berkata, “Orang miskin je dapat, orang menengah dapat apa?”


Bagi penyokong PR, mereka berpendapat penurunan harga minyak turut menguntungkan golongan menengah, berbanding pemberian BR1M yang hanya diberikan kepada golongan miskin. Maka, mereka mengatakan bahawa penurunan harga minyak lebih bermanfaat.


Pertama sekali, BR1M turut diberikan kepada golongan menengah, tetapi hanya kepada golongan menengah rendah. Namun bagi golongan menengah atas, tentulah bentuk manfaat yang berbeza diberikan kepada mereka.


Katakan seorang bapa mempunyai 2 orang anak. Seorang berada di tadika dan seorang lagi pelajar tingkatan 5. Katakan suatu hari bapa tersebut menghadiahkan sebuah buku mewarna kepada anaknya yang masih di tadika. Adakah atas dasar 'keadilan', dia juga perlu berikan sebuah buku mewarna kepada anaknya yang berada di tingkatan 5? Bukankah itu seperti suatu penghinaan?


Bagi golongan kaya dan menengah atas, mereka sebenarnya lebih banyak mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi negara. Peluang mereka meningkatkan pendapatan adalah lebih cerah apabila ekonomi negara berkembang. Ini kerana, apabila pendapatan sesebuah syarikat meningkat, mereka berpeluang menikmati bonus dan kenaikan gaji. Selain itu, ekonomi yang pesat membangun juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Dengan ini, mereka mempunyai kelebihan memilih peluang kerjaya yang menawarkan tawaran yang lebih baik daripada pekerjaan mereka yang sedia ada.


Ini tidaklah bermaksud kerajaan tidak perlu memberikan apa-apa manfaat langsung kepada golongan menengah atas. Namun, cara pemberian manfaat ini haruslah berbeza. Ini termasuklah dengan menurunkan kadar peratusan cukai individu yang akan memberikan lebihan wang kepada mereka.


Malah, kerajaan juga pernah merancang untuk merubah sistem percukaian negara yang lebih baik dan adil, iaitu daripada cukai yang hanya berasaskan pendapatan kepada cukai berasaskan pendapatan dan perbelanjaan. Dengan cara ini, cukai pendapatan dapat diturunkan lebih banyak lagi. 


Dengan sistem ini juga mereka boleh memilih samaada mahu membeli barangan mahal yang dikenakan cukai atau membeli barangan yang tidak dikenakan cukai. Dengan kata lain, mereka boleh memilih untuk dikenakan cukai atau tidak. 


Namun, sistem ini telah diputarbelitkan oleh pembangkang bagi mempengaruhi masyarakat awam yang jahil tentang sistem ini secara keseluruhannya sehingga ia terpaksa ditangguhkan. Kononnya, ia akan membebankan rakyat terutama golongan miskin. Padahal, ia tidak langsung atau sedikit sekali melibatkan barangan yang dibeli oleh golongan miskin!



BR1M akan meningkatkan hutang negara?



Jelas sekali pandangan ini sangat dangkal. Pemberian BR1M setakat ini hanya melibatkan perbelanjaan tidak sampai RM3 billion setahun. Sedangkan, penurunan harga minyak kepada RM1.50 seliter menelan belanja sekurang-kurangnya RM7 billion setahun. 


Mengapa tidak dikatakan penurunan harga minyak akan meningkatkan hutang negara?



BR1M akan menyebabkan kenaikan harga barang?



Ada juga sebahagian mereka yang kononnya arif dalam ekonomi mengatakan bahawa pemberian BR1M akan menyebabkan lambakan tunai dalam pasaran. Ini akan menyebabkan peningkatan permintaan seterusnya meningkatkan harga barang.


Namun mereka terlupa bahawa penurunan harga minyak juga akan menyebabkan lambakan tunai dalam pasaran. Ini kerana, harga minyak yang murah akan menyebabkan rakyat mempunyai lebihan wang, terutama golongan menengah atas dan kaya. Siapakah yang lebih kuat berbelanja? Golongan kaya atau golongan miskin? Mengapa tidak dikatakan penurunan harga minyak boleh menaikkan harga barang?


Lambakan tunai yang banyak sememangnya boleh menyebabkan inflasi. Namun, ia masih bergantung kepada pasaran. Sejak beberapa tahun lepas, kerajaan telah mengadakan beberapa langkah kawalan pasaran. 


Persaingan dalam pasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat rancak. Banyak pasaraya bersaing menawarkan harga yang lebih rendah. Ini termasuk persaingan sengit  antara Tesco, Giant, Mydin, Econsave, 99 Speedmart dan sebagainya. Kedai Rakyat 1Malaysia juga bertindak bagi ‘memecahkan’ pasaran. Persaingan ini dengan sendirinya akan mengawal daripada kenaikan harga barang.

Itulah sebabnya isu 'barang naik' telah menjadi isu lapuk yang tidak lagi dimanipulasi oleh pihak pembangkang. 


Sebenarnya terdapat beberapa lagi 'hujah' yang kononnya penurunan harga minyak lebih baik daripada BR1M. Namun, 'hujah-hujah' itu nyata terlalu dangkal untuk kami berikan jawapan.



Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. 
Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan,
 pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. 
Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” 
Ada yang bertanya, 
“Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?”.
 Baginda menjawab, 
“Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” 
There was an error in this gadget