Thursday 7 November 2013

NR vs AI: ke mana duit minyak patut dibelanjakan??




Katakan anda merupakan seorang hartawan yang  kaya-raya hasil penanaman pisang di kampung anda. Andaikan nama kampung ini adalah Kampung Pisang. Sebagai seorang yang dermawan, anda ingin menggunakan hasil perusahaan ini bagi membantu mengubah nasib penduduk Kampung Pisang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, status, pendidikan dan sebagainya. 

Lalu anda bertemu seorang konsultan bernama Ahmad Ismail atau lebih dikenali sebagai AI. Menurut AI, sebagai kampung pengeluar pisang terkemuka, kita perlu pastikan bahawa penduduk Kampung Pisang mendapat manfaat pisang sepenuhnya. AI mencadangkan agar setiap pisang di Kampung Pisang dijual pada harga murah, di bawah harga pasaran. Dengan cara ini, penduduk Kampung Pisang akan menikmati  harga pisang yang murah. Di samping itu juga, produk-produk berasaskan pisang seperti pisang goreng, kerepek pisang, pengat pisang, kek pisang dan jus pisang akan dapat diturunkan harga. 

Anda bersetuju dengan pandangan AI lalu melaksanakan cadangan tersebut. Penduduk Kampung Pisang berasa gembira dan menikmati pisang dengan sepuas-puasnya. Lalu konsumsi pisang di Kampung Pisang melonjak. 

Setelah beberapa tahun, anda menyedari bahawa walaupun pengeluaran pisang syarikat anda meningkat dengan banyak, keuntungan syarikat anda tidak melonjak dengan kadar sepatutnya. Ini kerana, sebahagian besar daripada pertambahan pengeluaran itu digunakan untuk memenuhi permintaan pisang di Kampung Pisang yang turut melonjak naik.

Selain itu, anda dapati bahawa penduduk Kampung Pisang tidak mendapat banyak manfaat. Yang mereka dapat hanyalah pisang! Anda juga mendapati harga pisang yang murah juga tidak menguntungkan golongan sasaran. Disebabkan kemampuan yang terhad, golongan miskin kurang berbelanja untuk membeli pisang. Mereka lebih banyak menumpukan perbelanjaan mereka kepada barangan asas. 

Sebaliknya, golongan pertengahan dan kaya pula yang lebih banyak mendapat manfaat. Mereka mampu membeli pisang dengan jumlah yang lebih banyak, lebih daripada yang mereka mampu makan, sehingga banyak pisang yang dibeli dibiarkan busuk begitu sahaja. Oleh demikian, pembaziran pisang juga meningkat. 

Ini belum termasuk peningkatan aktiviti penyeludupan pisang oleh penduduk yang tidak bertanggungjawab dan ketirisan manfaat pisang ini kepada orang luar yang datang ke Kampung Pisang. Ini sudah tentunya menjejaskan lagi prestasi syarikat anda untuk berkembang dengan lebih pesat. 

Menyedari kekusutan ini, anda menemui rakan lama anda, Nazarry Rosli atau NR yang lebih mahir dalam perancangan ekonomi berbanding AI yang hanya mahir bersastera dan mempesona orang ramai dengan ungkapan kata-kata. Menurut NR, adalah lebih baik sekiranya syarikat anda menjual pisang pada harga pasaran. Hasil keuntungan jualan itu bolehlah digunakan untuk bantuan bersasar, pelaburan semula dan pelaburan progresif. 

Dengan bantuan bersasar, anda boleh memberikan bantuan terus kepada golongan sasaran. Ini termasuk bantuan barangan asas kepada golongan miskin, bantuan pelajaran dan biasiswa kepada pelajar-pelajar berpotensi, pembiayaan perumahan rakyat termiskin, perniagaan dan sebagainya.

Dengan pelaburan semula hasil keuntungan itu pula, anda dapat meningkatkan produktiviti dan jualan syarikat bagi memastikan prestasi syarikat bertumbuh dengan pesat. Peningkatan pendapatan syarikat akan membolehkan lebih banyak bantuan dan manfaat diberikan kepada penduduk Kampung Pisang di masa-masa akan datang.

NR juga mencadangkan agar anda melakukan pelaburan progresif di Kampung Pisang. Ini termasuklah dengan membuat pelbagai prasarana di Kampung Pisang yang boleh menarik pelaburan-pelaburan syarikat lain. Hasilnya, lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di Kampung Pisang. Jumlah pengangguran akan berkurang. Ini sudah pastinya dapat mengeluarkan ramai orang daripada kepompong kemiskinan. 

Peluang pekerjaan yang banyak juga boleh meningkatkan pendapatan golongan pertengahan. Dengan pilihan yang lebih banyak, mereka lebih bebas memilih kerjaya yang menawarkan tawaran yang lebih baik. Para majikan pula terpaksa menawarkan insentif-insentif menarik kepada para pekerja bagi mengelakkan mereka berhijrah ke syarikat lain.

Menurut NR lagi, pertambahan pendapatan akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Kampung Pisang. Ini disebabkan lebih ramai orang mampu berbelanja. Bisnes-bisnes seperti gerai di tepi jalan, restoran, klinik, kedai pakaian, tukang rumah, pasar malam dan sebagainya turut mendapat lonjakan pendapatan. Malah, lebih banyak bisnes-bisnes baru akan muncul. 

Rentetan daripada itu, lebih ramai penduduk Kampung Pisang mendapat kelayakan pembiayaan daripada pihak bank. Dengan cara ini, jutaan ‘wang baru’ dapat diwujudkan di Kampung Pisang. Wang ini akan melonjakkan pendapatan pengeluar, pengusaha dan agen penjual kereta, pemaju perumahan, kontraktor rumah, agen hartanah, tukang cat, arkitek, jurutera, tukang besi dan kesemua mereka yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung. Maka kegiatan ekonomi di Kampung Pisang akan terus meningkat berlipat kali ganda.

Inilah yang disebutkan oleh NR sebagai ‘Lonjakan Berganda’. Anda yakin sekiranya apa yang disarankan oleh NR dilaksanakan, penduduk Kampung Pisang akan beroleh manfaat yang jauh lebih besar dan menyeluruh dan bukan hanya semata-mata pisang yang murah seperti sebelum ini. 

Dengan cara ini juga anda dapat membela nasib golongan miskin, menambah pendapatan golongan menengah, meluaskan peluang golongan kaya, meningkatkan ekonomi Kampung Pisang secara keseluruhannya dan dalam masa sama tidak menyekat potensi pertumbuhan syarikat anda.  

Anda berasa kesal kerana tidak mendapatkan pandangan daripada NR sebelum ini. Anda juga berasa marah kerana terpedaya dengan sihir kata-kata yang diungkapkan oleh AI. Nyata sekali, cadangan AI tidak banyak membantu mengubah kehidupan penduduk Kampung Pisang. 

Lalu anda bekerjasama dengan NR untuk melakukan transformasi di Kampung Pisang. Anda yakin dengan transformasi ini, anda dapat melonjakkan Kampung Pisang menjadi sebuah kampung maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bersambung…