Monday 29 April 2013

turun harga minyak lebih baik daripada BR1M?





Post kami yang bertajuk "Kebajikan rakyat: PR vs BN" merupakan post yang mendapat hits paling banyak selepas post "Anwar, Mahathir, Najib dan Bursa". Dalam post tersebut kami membandingkan secara ringkas di antara idea PR yang mahu menurunkan harga minyak, menurunkan harga kereta, menghapuskan tol dan sebagainya dengan idea BN yang menyasarkan bantuan hanya kepada golongan-golongan sasaran sahaja melalui program BR1M, KAR1SMA, KR1M, MYKASIH dan sebagainya.


Kami telah membandingkan kedua-dua idea ini dari aspek keadilan serta manfaat kepada rakyat secara keseluruhan. 


Baru-baru ini Datuk Seri Najib dalam sebuah ucapannya menyebutkan:



“Kita kurangkan (harga) minyak siapa untung? Orang kaya yang untung. Orang kaya yang bawa kereta besar pun untung. Pekerja asing pun untung.

“Bila kita bagi BR1M siapa untung? Rakyat yang untung. Sekarang ini kita dapat lima keping. Ada yang ketaq lutut orang Kedah kata. “Bila dapat BR1M bukan sahaja rakyat untung tapi pekedai untung, peniaga pasar tani, pasar minggu pun untung.

“Ekonomi semakin berkembang,”

Namun ramai di kalangan penyokong PR yang 'perasan bijak' telah memperlekehkan ucapan Datuk Seri Najib ini. Mereka berkata kononnya Datuk Seri Najib tidak reti ekonomi, tak pandai kira, serta menyindir kononnya kalkulator kerajaan rosak.


Di sini kami ingin menyangkal kepercayaan karut sesetengah pihak kononnya menurunkan harga minyak lebih baik daripada pemberian BR1M.



Penurunan harga minyak akan menyebabkan penurunan harga barang?



Ramai yang percaya bahawa jika harga minyak naik maka harga barang pun naik. Harga barang juga akan turun jika harga minyak turun. 


Pandangan ini sebenarnya adalah pandangan yang dangkal. Tidak dinafikan bahawa minyak adalah sebahagian daripada kos, terutama kos pengangkutan. Namun, ia bukanlah faktor yang penting. Jika diikutkan, gaji pekerja adalah kos yang lebih penting. Tetapi mengapa mereka tidak mengatakan sekiranya PR menaikkan gaji minima seperti yang tercatat dalam manifesto mereka, harga barang akan naik? 


Selepas berlakunya kenaikan harga minyak dunia beberapa tahun dahulu, kita dapati syarikat pengangkutan seperti Air Asia masih lagi mencatatkan keuntungan pada tahun-tahun berikutnya walaupun mereka tetap mengenakan harga tambang yang murah. Jelas sekali kenaikan harga minyak seolah-olah tidak memberikan kesan kepada Air Asia. Mereka hanya perlu pastikan bahawa mereka dapat meningkatkan jumlah penumpang mereka.


Begitu juga dengan harga barang. Biasanya apabila berlaku kenaikan harga minyak, kenaikan kos per produk boleh dikatakan sifar sekiranya jumlah penghantaran tidak menurun dengan signifikan. Sebagai contoh, kenaikan kos minyak sebanyak RM20 bagi sebuah penghantaran akan menaikkan kos per produk sebanyak hanya 1 sen bagi penghantaran 2000 unit produk. Namun, ia akan meningkat kepada 10 sen jika penghantaran menurun kepada hanya 200 unit. 


Jelas sekali, harga minyak bukanlah faktor penting dalam menentukan harga barang. Apatah lagi apabila dikatakan penurunan harga minyak dikatakan boleh menurunkan harga barang.



Penurunan harga minyak mendatangkan manfaat kepada lebih ramai orang?



Dari satu sudut, pandangan ini boleh dikatakan benar. Ini kerana penurunan harga minyak boleh dinikmati oleh kesemua lapisan masyarakat samaada kaya, menengah atau miskin.


Namun, apa yang menjadi persoalan adalah keberkesanannya kepada golongan sasaran. Sepertimana yang disebutkan dalam post sebelum ini, subsidi minyak lebih banyak pergi kepada golongan kaya dan berpendapatan menengah atas. 


Kajian IMF pada 2007 menunjukkan bahawa golongan kaya mendapat lebih daripada 5 kali ganda subsidi berbanding yang didapati oleh golongan miskin. Sebagai contoh, sekiranya golongan miskin yang hanya mempunyai sebuah motosikal yang dikongsi oleh kesemua ahli keluarga mendapat subsidi minyak sebanyak RM50 sebulan, maka golongan kaya yang kesemua ahli keluarga mereka mempunyai kereta, lebih banyak travel, lebih boros menggunakan minyak akan mendapat subsidi sebanyak RM250 sebulan atau lebih.


Persoalannya, adilkah pengagihan subsidi sebegini? Layakkah golongan kaya mendapat subsidi sebanyak itu? Malah bagi golongan kaya, RM250 itu langsung tidak memberi kesan dan tidak langsung dipandang oleh mereka. Bukankah lebih baik wang ini diberikan terus kepada mereka yang memerlukan?





Penurunan harga minyak yang dicadangkan oleh PR hanya memberikan kesan sebanyak beberapa ringgit sebulan kepada golongan miskin tetapi memberikan wang ekstra yang lebih banyak kepada golongan kaya. 


Jumlah tambahan subsidi diperlukan bagi menurunkan harga minyak RON95 kepada RM1.50 seliter adalah sekurang-kurangnya sebanyak RM7 billion. Ini menyamai kos pemberian BR1M sebanyak RM1200 setahun kepada 6 juta orang golongan berpendapatan menengah rendah ke bawah. 



Namun jika dibandingkan, penurunan harga minyak sebanyak itu mungkin akan mendatangkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM100 atau lebih sebulan bagi golongan kaya dan menengah atas tetapi hanya beberapa puluh ringgit sebulan bagi golongan berpendapatan menengah rendah. Malah ia mungkin hanya memberi penjimatan hanya beberapa ringgit sebulan bagi golongan miskin! Manakala dengan BR1M yang diberikan sebanyak RM1200 setahun akan mendatangkan lebihan wang sebanyak purata RM100 sebulan kepada mereka. Ini tidak termasuk bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan khusus kepada golongan miskin.


Ini jelas menunjukkan pemberian BR1M memberikan manfaat yang lebih kepada golongan sasaran jika dibandingkan dengan penurunan harga minyak.



Golongan menengah dapat apa?



Apabila kerajaan memutuskan untuk memberika BR1M, ramai yang berkata, “Orang miskin je dapat, orang menengah dapat apa?”


Bagi penyokong PR, mereka berpendapat penurunan harga minyak turut menguntungkan golongan menengah, berbanding pemberian BR1M yang hanya diberikan kepada golongan miskin. Maka, mereka mengatakan bahawa penurunan harga minyak lebih bermanfaat.


Pertama sekali, BR1M turut diberikan kepada golongan menengah, tetapi hanya kepada golongan menengah rendah. Namun bagi golongan menengah atas, tentulah bentuk manfaat yang berbeza diberikan kepada mereka.


Katakan seorang bapa mempunyai 2 orang anak. Seorang berada di tadika dan seorang lagi pelajar tingkatan 5. Katakan suatu hari bapa tersebut menghadiahkan sebuah buku mewarna kepada anaknya yang masih di tadika. Adakah atas dasar 'keadilan', dia juga perlu berikan sebuah buku mewarna kepada anaknya yang berada di tingkatan 5? Bukankah itu seperti suatu penghinaan?


Bagi golongan kaya dan menengah atas, mereka sebenarnya lebih banyak mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi negara. Peluang mereka meningkatkan pendapatan adalah lebih cerah apabila ekonomi negara berkembang. Ini kerana, apabila pendapatan sesebuah syarikat meningkat, mereka berpeluang menikmati bonus dan kenaikan gaji. Selain itu, ekonomi yang pesat membangun juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Dengan ini, mereka mempunyai kelebihan memilih peluang kerjaya yang menawarkan tawaran yang lebih baik daripada pekerjaan mereka yang sedia ada.


Ini tidaklah bermaksud kerajaan tidak perlu memberikan apa-apa manfaat langsung kepada golongan menengah atas. Namun, cara pemberian manfaat ini haruslah berbeza. Ini termasuklah dengan menurunkan kadar peratusan cukai individu yang akan memberikan lebihan wang kepada mereka.


Malah, kerajaan juga pernah merancang untuk merubah sistem percukaian negara yang lebih baik dan adil, iaitu daripada cukai yang hanya berasaskan pendapatan kepada cukai berasaskan pendapatan dan perbelanjaan. Dengan cara ini, cukai pendapatan dapat diturunkan lebih banyak lagi. 


Dengan sistem ini juga mereka boleh memilih samaada mahu membeli barangan mahal yang dikenakan cukai atau membeli barangan yang tidak dikenakan cukai. Dengan kata lain, mereka boleh memilih untuk dikenakan cukai atau tidak. 


Namun, sistem ini telah diputarbelitkan oleh pembangkang bagi mempengaruhi masyarakat awam yang jahil tentang sistem ini secara keseluruhannya sehingga ia terpaksa ditangguhkan. Kononnya, ia akan membebankan rakyat terutama golongan miskin. Padahal, ia tidak langsung atau sedikit sekali melibatkan barangan yang dibeli oleh golongan miskin!



BR1M akan meningkatkan hutang negara?



Jelas sekali pandangan ini sangat dangkal. Pemberian BR1M setakat ini hanya melibatkan perbelanjaan tidak sampai RM3 billion setahun. Sedangkan, penurunan harga minyak kepada RM1.50 seliter menelan belanja sekurang-kurangnya RM7 billion setahun. 


Mengapa tidak dikatakan penurunan harga minyak akan meningkatkan hutang negara?



BR1M akan menyebabkan kenaikan harga barang?



Ada juga sebahagian mereka yang kononnya arif dalam ekonomi mengatakan bahawa pemberian BR1M akan menyebabkan lambakan tunai dalam pasaran. Ini akan menyebabkan peningkatan permintaan seterusnya meningkatkan harga barang.


Namun mereka terlupa bahawa penurunan harga minyak juga akan menyebabkan lambakan tunai dalam pasaran. Ini kerana, harga minyak yang murah akan menyebabkan rakyat mempunyai lebihan wang, terutama golongan menengah atas dan kaya. Siapakah yang lebih kuat berbelanja? Golongan kaya atau golongan miskin? Mengapa tidak dikatakan penurunan harga minyak boleh menaikkan harga barang?


Lambakan tunai yang banyak sememangnya boleh menyebabkan inflasi. Namun, ia masih bergantung kepada pasaran. Sejak beberapa tahun lepas, kerajaan telah mengadakan beberapa langkah kawalan pasaran. 


Persaingan dalam pasaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini amat rancak. Banyak pasaraya bersaing menawarkan harga yang lebih rendah. Ini termasuk persaingan sengit  antara Tesco, Giant, Mydin, Econsave, 99 Speedmart dan sebagainya. Kedai Rakyat 1Malaysia juga bertindak bagi ‘memecahkan’ pasaran. Persaingan ini dengan sendirinya akan mengawal daripada kenaikan harga barang.

Itulah sebabnya isu 'barang naik' telah menjadi isu lapuk yang tidak lagi dimanipulasi oleh pihak pembangkang. 


Sebenarnya terdapat beberapa lagi 'hujah' yang kononnya penurunan harga minyak lebih baik daripada BR1M. Namun, 'hujah-hujah' itu nyata terlalu dangkal untuk kami berikan jawapan.



Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. 
Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur didustakan,
 pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat. 
Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” 
Ada yang bertanya, 
“Apakah yang dimaksudkan dengan Ruwaibidhah?”.
 Baginda menjawab, 
“Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” 

2 comments:

  1. BR1M dilihat sebagai gula-gula pilihanraya oleh pihak sebelah sana. Tuduhan sebegini dilihat berat sebelah tanpa faktanya diselidiki. Saya percaya kepimpinan sebelah sana mengakui kebaikan BR1M, kerana BR1M menyemarakkan ekonomi golongan bawahan. Namun untuk kepentingan politik, ianya lebih baik didiamkan sahaja oleh pemimpin pembangkang.

    Soal penurunan harga minyak ini kurang diberi penjelasan. Jun 2008, Malaysia mengalami kenaikan harga minyak yang tinggi, ianya telah dijadikan alasan untuk menaikkan harga barangan keperluan juga. Tetapi pada September 2008, sejajar dengan penurunan harga minyak sedunia ketika itu, Malaysia juga telah mengumumkan penurunan harga minyak didalam negara. Hakikatnya, harga barangan keperluan ketika itu, tidak pula mengalami penurunan, malah mengalami peningkatan pula.

    Satu persoalan yang selalu dibangkitkan oleh pihak disebelah sana adalah, "Malaysia adalah negara pengeluar minyak, begitu juga dengan Brunei, tetapi kenapa Brunei lebih murah? Kenapa Malaysia tidak boleh semurah Brunei?". Pertama sekali kita perlu lihat dari segi pentadbiran negara diantara kedua negara, ianya adalah 2 sistem pentadbiran yang sangat berbeza. Kemudian kita perlu lihat dari segi populasi penduduk, Brunei hanya mempunyai populasi penduduk dalam lingkungan 500,000 sahaja berbanding Malaysia yang punya kepadatan lebih 50-60 kali ganda lebih besar dari Brunei. Rakyat Brunei juga diberikan subsidi minyak, begitu juga Rakyat Malaysia, tetapi memandangkan kepadatan penduduk Brunei yang jauh lebih rendah, maka Brunei tiada masalah untuk memberikan subsidi yang lebih tinggi. Malaysia tidak mungkin mampu untuk memberikan subsidi tinggi sepertimana Brunei kerana kepadatan Malaysia yang tinggi akan menyebabkan kos yang ditanggung kerajaan lebih tinggi.

    Malaysia adalah negara pengeluar minyak, begitu juga Indonesia. Malah Indonesia mempunyai simpanan minyak yang jauh lebih banyak dari Malaysia, tetapi harga minyak di Indonesia lebih tinggi dari Malaysia, kerana kepadatan penduduk Indonesia lebih tinggi dari Malaysia. Itu menjelaskan segala-galanya.

    Ini adalah fakta berkaitan minyak yang tidak diceritakan oleh pihak sebelah sana. Kita harus bersyukur kita sebenarnya memiliki sebuah kerajaan yang sangat prihatin kepada keperluan rakyatnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih saudara Syazwan. Saya setuju dengan penjelasan anda.

      Orang awam memang biasanya hanya melihat pada surface, bukan detail seperti yang dihuraikan. Kedua, mereka lebih melihat keadilan dari sudut kesamarataan. Bagi mereka subsidi perlu diberikan kepada semua orang samaada kaya atau miskin.

      Tentang kenaikan harga minyak pada tahun 2008, waktu itu kita di ambang kegawatan ekonomi global. Sebenarnya adalah kurang bijak kalau kita tambah perbelanjaan subsidi pukal di waktu gawat. Waktu gawat juga produktiviti menurun. Bila produktiviti menurun, kos jadi tinggi. Itu sebab kenaikan harga minyak pada tahun 2008 memberi kesan kepada harga barang. Perkara ini bukan sekadar berlaku di Malaysia, tapi hampir di semua negara di seluruh dunia.

      Faktor pasaran juga banyak memainkan peranan. Itu sebab ada kenaikan harga yang tak rasional. Aktiviti manipulasi juga agak teruk waktu itu. Beberapa kali orang cuba sorok barang keperluan untuk manipulasi demand.

      Tapi kerajaan telah perkenalkan beberapa langkah untuk kawal manipulasi, termasuk menggubal akta persaingan dan pencatutan. Kerajaan juga melakukan intervensi pasaran, yg mana bila supply dalam pasaran kurang disebabkan kemungkinan cubaan manipulasi pasaran, kerajaan sendiri supply ke dlm pasaran. Itu sebabnya beberapa tahun kebelakangan ini, inflasi dalam negara terkawal dan berada di tahap yg rendah. Tapi perkara ini orang tak perasan. Mereka hanya ingat yang tahun 2008 itu sahaja.

      Bukan senang nak turunkan harga barang bila dah naik. Unless orang semua pakat kurangkan pembelian. Tapi kalau orang ramai tetap beli pada kuantiti sama, harga barang tak akan turun. Itu sebabnya kenaikan harga barang biasanya lebih banyak disebabkan oleh demand pull berbanding cost push. Kadang-kadang nampak macam cost push, tapi sebenarnya demand yang menyebabkan peniaga berani mengambil kesempatan.

      Selain menurunkan harga barang, satu lagi ubat inflasi adalah menaikkan pendapatan rakyat. Ini dilakukan samaada dengan menaikkan gaji, mewujudkan banyak peluang pekerjaan, memberi pelbagai bantuan bersasar, merancakkan aktiviti ekonomi domestik, menurunkan cukai, menaikkan gaji minima etc.

      Mengenai perbandingan harga minyak Malaysia dan Brunei itu, saya setuju 100% dengan penjelasan anda. Mereka suka membandingkan epal dengan durian.

      Anyway, terima kasih atas komen anda.

      Delete