Thursday 28 March 2013

sifir kemenangan PRU13




Dalam temubual bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin baru-baru ini, beliau menyebutkan:

“ Saya katakan BN akan menang. Ia adalah baik kerajaan (BN) berpendapat ia boleh mendapatkan sokongan dua pertiga, yang sepatutnya menjadi sasaran mereka. UMNO mempunyai kira-kira 3.3 juta ahli, MCA kira-kira satu juta, MIC kira-kira 600,000. Itu sudah dikira separuh daripada pengundi. 

Sekarang anda hanya perlu sedikit sokongan daripada golongan atas pagar, maka anda berpeluang untuk menang.”


Akar umbi


Bagi orang yang berpengalaman dalam politik seperti Tun Daim, beliau tahu bahawa kekuatan utama BN terletak pada akar umbinya yang kuat. Akar umbi ini membentuk kira-kira 30-40% daripada jumlah keseluruhan pengundi di kebanyakan kawasan.

Jika kita teliti pada peristiwa-peristiwa sejarah, kita dapati BN hanya bermasalah apabila akar umbinya bermasalah. 


Pada tahun 1988, ketika Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46, ramai di kalangan ahli UMNO termasuk sebahagian menteri kabinet mengikut jejak langkah beliau dengan menyertai parti tersebut. Hasilnya, pada Pilihanraya Umum tahun 1990, BN telah kehilangan beberapa kerusi Parlimen dan kesemua kerusi di Kelantan, yang mana 24 kerusi dimenangi oleh PAS dan 15 kerusi dimenangi oleh Semangat 46.

Namun setelah itu, UMNO kembali menyusun parti mereka dengan memperkasa semula akar umbi mereka. Lalu, mereka berjaya merampas semula kerusi-kerusi yang dimenangi pembangkang pada Pilihanraya Umum tahun 1995. Pada 1996, Parti Semangat 46 telah dibubarkan dan Tengku Razaleigh telah kembali menyertai UMNO.

Pada tahun 1998, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat. Ramai penyokong-penyokong beliau, termasuk di kalangan ahli akar umbi UMNO telah mengikuti beliau meninggalkan UMNO dan menyertai parti pembangkang. Hasilnya, pada Pilihanraya Umum 1999, BN telah kehilangan banyak kerusi Parlimen dan kehilangan sebuah lagi negeri iaitu Terengganu. 

Setelah itu, UMNO kembali menyusun parti dengan mengukuhkan kembali akar umbi. Ini termasuk menubuhkan sebuah sayap baru iaitu Puteri UMNO yang telah berjaya menarik ramai wanita-wanita muda professional menyertai UMNO. Pada Pilihanraya Umum 2004, BN telah memenangi 90% kerusi Parlimen disamping merampas kembali negeri Terengganu.

Namun setelah itu, berlaku perselisihan yang agak besar di antara Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ini telah memberi kesan yang banyak kepada akar umbi UMNO. Maka pada Pilihanraya Uum tahun 2008, ramai ahli UMNO tidak keluar mengundi dan ada juga yang mengundi parti pembangkang. Hasilnya, BN telah kehilangan majoriti 2/3 dan terlepas 4 buah lagi negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menaiki takhta Presiden UMNO, perkara pertama yang dilakukan adalah membuat pindaan perlembagaan UMNO yang antara lain adalah bagi memudahkan keahlian. Maka jumlah ahli UMNO kini telah bertambah kepada kira-kira 3.34 juta. Ini dikira setelah dilakukan proses ‘pemutihan’ iaitu dengan menolak mereka yang telah meninggal dunia, mereka yang gagal dikesan dan mereka yang telah menyokong parti pembangkang.


Kiraan pukal





"Politics is a game of numbers"

Sebenarnya isu yang paling penting dalam politik adalah 'angka'. Seseorang mungkin hebat berceramah, mengulas isu, menghimpunkan orang ramai dan sebagainya, namun yang menentukan kemenangan adalah jumlah undi yang diterima. Oleh itu, dalam mengulas tentang politik, tidak lengkap jika kita langsung tidak memberi perhatian kepada soal 'angka'.

Berdasarkan data pemilih terkini, jumlah pengundi berdaftar dengan SPR adalah sebanyak kira-kira 13.2 juta. Jika dianggapkan jumlah pengundi yang keluar mengundi adalah 80%, maka sesebuah parti memerlukan kira-kira 5.4 juta undi untuk mendapat 51% daripada keseluruhan undi.

Persoalannya, mampukah BN mendapatkan 5.4 juta undi? 

Pertama, kita perlu mengira jumlah mereka yang berada dalam ‘safe deposit’ BN.  

1) Ahli

Jumlah parti dalam BN adalah sebanyak 14 parti, tidak termasuk 3 lagi parti yang menyokong BN. Daripada 14 parti ini, parti terbesar adalah UMNO, MCA dan MIC. Jumlah ahli dalam ketiga-tiga parti ini ada sekitar  5 juta. Jika ditambah dengan 11 lagi parti komponen lain, jumlah ahli dianggarkan 6 ke 7 juta ahli. 


2) Kakitangan awam.

Tidak kesemua kakitangan awam menyokong kerajaan. Namun majoriti mereka adalah penyokong kerajaan. Buktinya BN telah memenangi majoriti yang besar di Putrajaya yang majoriti pengundinya adalah merupakan kakitangan kerajaan pada PRU tahun 2008 lepas. Katakan 60% daripada 1.5 juta kakitangan awam adalah penyokong kerajaan.  Maka dianggarkan 900 ribu lagi pengundi akan mengundi kerajaan.

3) Pesara kerajaan

Dianggarkan kira-kira 80% daripada hampir 600 ribu pesara kerajaan adalah penyokong kerajaan. Ini memberikan kira-kira setengah juta lagi undi kepada BN.

4) Ahli RELA

RELA juga merupakan salah satu ‘safe deposit’ BN. Jumlah ahli RELA kini telah melebihi 2 juta ahli.

Lain-lain undi:

Dalam post kami yang bertajuk "kebajikan rakyat: PR vs BN" yang lepas, kami telah menerangkan tentang usaha kerajaan merasionalisasi subsidi dengan mengalihkan subsidi pukal kepada program subsidi yang lebih adil iaitu subsidi bersasar. Mereka yang menerima manfaat daripada program subsidi bersasar ini termasuklah golongan miskin dan golongan berpendapatan sederhana rendah.  Mereka ini menerima bantuan rumah PPR, beras dan keperluan harian percuma, pakaian, KAR1SMA, 1AZAM, e-Kasih, PR1MA, BR1M dan sebagainya.

Di kalangan mereka ini ada juga yang menyokong pembangkang. Namun, ramai di kalangan mereka yang bersyukur dan tahu berterima kasih atas keadilan program rasionalisasi subsidi kerajaan terutama di kalangan mereka yang berada di atas pagar. Itulah sebabnya kajian terkini menunjukkan sekitar 70-80% pengundi  dengan pendapatan isi rumah bawah RM3000 adalah merupakan penyokong kerajaan.

Berdasarkan BAJET 2013, seramai 7 juta orang layak untuk menerima BR1M 2.0. Daripada jumlah itu, 2.7 juta adalah penerima bujang dan 4.3 juta adalah penerima yang sudah berkeluarga. Jika disekalikan dengan pasangan atau jumlah ahli keluarga penerima, maka pemberian ini boleh dianggap melibatkan kira-kira 10 juta orang. 

Dari sini, kita boleh membuat 2 sasaran. Pertama, katakan 70% daripada penerima menyokong kerajaan, maka jumlah pengundi adalah sebanyak 7 juta orang. Kedua, boleh disasarkan jumlah pengundi atas pagar yang telah menyokong kerajaan adalah sebanyak 2 juta orang. Ini terbukti bahawa semasa pemberian BR1M yang pertama, terdapat ramai penerima yang tidak mendaftar sebagai pengundi. Ini bermakna mereka ini adalah golongan atas pagar yang tidak kisah langsung tentang isu politik dan pilihanraya. Namun kini kebanyakan mereka telah pun mendaftar menjadi pengundi. Itulah sebabnya pada tahun 2012, jumlah pendaftaran pengundi meningkat dengan mendadak.

Berdasarkan angka-angka di atas, jelaslah bahawa BN mampu memperoleh lebih daripada 7 juta undi, iaitu cukup bagi memenangi PRU13. Namun, ia mestilah dengan syarat jentera BN kekal bersatu dan tidak ada sabotaj antara satu sama lain. 


Lebih jitu


Berdasarkan kajian dan risikan oleh pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan dan organisasi-organisasi bebas samaada dalam atau luar negara, secara umumnya, BN memperolehi sokongan daripada 65-70% pengundi kaum Melayu, 70-80% pengundi kaum India dan lain-lain dan 20% pengundi kaum Cina.

Jika taburan sokongan ini dianggap sekata, maka BN akan menang di semua kawasan yang  jumlah pengundi Cina kurang daripada 36%. Namun, jumlah kawasan sebegini hanyalah sedikit dan kebanyakannya bertumpu di kawasan-kawasan bandar.

Malah, data-data terkini menunjukkan pihak pembangkang belum berjaya menembusi 2 buah negeri ‘safe deposit’ BN iaitu Sabah dan Sarawak, kecuali di kawasan-kawasan majority Cina. 

Ini sekali lagi menunjukkan bahawa BN tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen dan kebanyakan DUN.


Bila nak bubar?


Akhir-akhir ini kita sering mendengar suara-suara sumbang pro-pembangkang yang berkata, “kalau betul dah yakin menang, kenapa takut nak bubar parlimen lagi?”

Isu ini telah kami jelaskan di SINI.

No comments:

Post a Comment