Monday 1 April 2013

ketuanan melayu: jangan jadi literalis



Akhir-akhir ini kita melihat ramai di kalangan masyarakat kita yang mempertikaikan slogan “ketuanan melayu.” Slogan ini dikatakan asabiyah, perkauman atau racism dan sebagainya. Perkataan-perkataan ini bukan sahaja keluar dari mulut masyarakat awam tapi juga dari kalangan ‘cerdik-pandai’ yang ‘idealis’ dan hanya hidup dalam dunia teori tanpa melihat kepada sejarah dan realiti setempat. 

Lalu mereka mengungkapkan dalil-dalil   seperti berikut: 


Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. 
(Surah al-Hujurat: 13)


Sabda Nabi SAW.: 
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” 
(Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi)

Dalil-dalil ini sememangnya benar. Namun, apabila ia digunakan dalam konteks perbahasan tentang ketuanan melayu, maka penggunaannya sebenarnya adalah tidak tepat.


Siapakah Melayu?


Jika kita mengkaji sejarah, kita akan bertemu dengan fakta-fakta pelik. 

Contoh, Datuk Onn bin Jaafar, pengasas UMNO, sebuah parti perjuangan Melayu adalah berketurunan Turki.

Ia tidak hanya berhenti di situ. Bapa kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman merupakan kacukan darah Siam. Ini kerana, beliau merupakan anakanda kepada Sultan Abdul Halim Hamid Shah hasil daripada perkahwinan baginda dengan Che Manjalara atau Nueng Nandanakorn yang berketurunan Siam. 

Perdana Menteri yang paling lama memerintah Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula berdarah kacukan India.

Pada hari ini, orang Melayu terkaya di Malaysia, Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary adalah berketurunan Arab sepenuhnya.

Pernahkah kita mendengar orang melayu mempertikaikan kemelayuan kesemua mereka ini?

Jadi siapakah sebenarnya melayu?

Itulah sebabnya kita perlu memahami perkara ini dengan melihat kepada realiti.  

Realitinya, dari sudut sejarah, bangsa melayu merupakan bangsa yang terbuka. Sesiapa sahaja boleh ‘diserap’ menjadi melayu dengan syarat mereka beragama Islam. Dengan kata lain, dalam konteks ini, melayu adalah muslim dan muslim adalah melayu, tanpa mengira darah keturunan sebenar.

Apabila Perlembagaan Persekutuan digubal, Orang Melayu didefinisikan seperti berikut:


“"Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu.” 
(Perkara 160(2), Perlembagaan Persekutuan)

Dari segi pengamalan, kita dapati kerajaan kita lebih longgar lagi. Sebagai contoh, seseorang bukan melayu yang memeluk Islam diberikan hak seperti seorang melayu. Mereka dibenarkan membuka akaun ASB, memohon pembiayaan usahawan PUNB dan sebagainya, walaupun tidak menepati syarat “lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu” seperti di atas.

Itulah sebabnya juga pada hari ini kita dapat lihat di antara orang yang lantang memperjuangkan hak dan kedudukan orang Melayu adalah Prof. Dr. Ridhuan Tee, sedangkan semua orang mengetahui bahawa beliau seorang yang berketurunan Cina. Ini bukanlah bermaksud beliau telah lupa asal-usul keturunan beliau. Namun, beliau memahami realiti maksud dan erti kata ‘melayu’ yang sebenar. Beliau juga faham akan kesan terhadap kedudukan umat Islam apabila perkara ini digugat.





Jelas sekali, takrif ‘melayu’ meletakkan agama sebagai teras. Sekalipun seseorang itu berketurunan melayu tetapi meninggalkan agama Islam, maka dengan sendirinya beliau tidak diiktiraf lagi sebagai seorang melayu. Ini juga bermaksud, dengan kata lain, menentang ketuanan melayu samalah seperti menentang ketuanan umat Islam di Malaysia.


Islam agama yang praktikal


Islam bukanlah agama teori semata-mata. Islam adalah agama yang realistik dan praktikal. 

Dalam Islam, memang jelas bahawa tiada beza di antara seorang arab dengan seorang ajam (bukan arab). Yang membezakan di antara manusia hanyalah taqwa. 

Rasulullah SAW. juga mencela perbuatan menghina keturunan seseorang.

Dalam sebuah hadis, diceritakan bahawa Abu Dzar ra. pernah menghina Bilal dengan menggunakan perkataan “anak perempuan hitam”. Mendengar kisah tersebut, Rasulullah SAW. menegur Abu Dzar dengan keras:


 “Sesungguhnya kamu orang yang masih terdapat sifat jahiliyah dalam dirimu!" 
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Namun, dari segi praktikalnya, kita dapati dalam perancangan, dakwah dan pentadbiran Rasulullah SAW., baginda sentiasa mengambil kira persoalan atau isu-isu berkaitan kaum. Itulah sebabnya, di dalam kitab-kitab sirah, kita dapati perkataan ‘bani’ atau ‘keturunan’ seperti Bani Hashim, Bani Taym, Bani 'Adi, Bani Ummayah dan bani-bani lain merupakan perkataan yang disebut berleluasa, sebanyak ratusan kali!

Adakah ini bermaksud Rasulullah SAW. bersifat perkauman? Tidak! Rasulullah SAW. adalah merupakan seorang yang praktikal.

Ini samalah seperti analisis-analisis politik yang sering kita baca. Sebagai contoh, hasil kajian Merdeka Center  mendapati 70% kaum India, 65% kaum Melayu dan 20% kaum Cina menyokong BN. Adakah kajian ini bersifat perkauman? Tidak! Kajian ini adalah kajian yang praktikal. Ini kerana realitinya, faktor kaum juga adalah faktor penting bagi pola pengundian.

Dalam isu pemerintahan sebagai contoh, Rasulullah SAW. menyebutkan, 


“Imam (pemerintah) itu dari kalangan Quraish.” 
(Riwayat Ahmad)

Sekali lagi, adakah Rasulullah SAW. bersifat perkauman? Tentu sekali tidak. Rasulullah SAW. memahami realiti. Ini dijelaskan oleh Maulana Asri Yusuf dalam video ‘WAJIB TONTON!’ di bawah.




Realiti di Malaysia.



Sekalipun kita tidak menerima definisi melayu seperti di atas, ini tidaklah bermaksud ketuanan melayu perlu dibuang. Ini kerana, majoriti umat Islam di negara ini adalah berbangsa melayu. Penduduk di negara ini juga telah sekian lama menerima kepimpinan melayu sebagai teras di negara ini. Jika ini diubah, sudah pastilah akan berlaku kucar-kacir.

Selain itu, hak-hak dan kepentingan orang melayu perlu dijaga. Apabila kedudukan orang melayu terjejas, secara automatik kedudukan umat Islam secara keseluruhannya juga akan terjejas. Sebagai contoh, jika orang melayu dibiarkan ketinggalan dalam pendidikan, maka negara ini akan dipenuhi dengan majoriti umat Islam yang lemah akal fikiran. Bolehkah umat Islam yang lemah ini mendaulatkan agama Islam? Secara tidak langsung, kedudukan Islam juga akan terjejas.

Begitulah seterusnya dalam aspek-aspek lain seperti kewangan, ekonomi, politik, perundangan, ketenteraan dan sebagainya.  

Inilah realiti di Malaysia. Ramai orang memilih menjadi literalis. Mereka melihat perkataan ‘melayu’ itu secara literal, tanpa melihat maksud sebenar serta realiti sejarah dan semasa. Lalu mereka menuturkan perkataan yang kelihatan benar, namun pada hakikatnya ia diletakkan di tempat yang salah.

Jangan lupa tonton video ‘WAJIB TONTON’ di atas.

No comments:

Post a Comment